BATU PAHAT: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menegaskan parti itu memerlukan ahli setia dan bukan mereka yang meninggalkan UMNO ketika ia berdepan kekalahan sehingga tidak lagi menjadi pemerintah.
Beliau memaklumkan bahawa sepanjang tempoh 22 bulan UMNO menjadi pembangkang sebelum ini, ramai ahli termasuk pemimpin telah meninggalkan parti berkenaan.
“Baru diuji sedikit, sudah lari… bagaimana pemimpin terdahulu yang diuji tetapi kekal setia bersama parti?
“Selepas mengalami kekalahan, kita diuji dengan pelbagai dugaan. Antaranya, harta milik UMNO dirampas dan akaun dibekukan.
“Saya dan ramai pemimpin UMNO pun diuji, namun rakyatlah mempertahankan UMNO. Kita tidak memerlukan orang bijaksana tetapi hanya menyusahkan… kita tidak memerlukan orang kaya tetapi menghabiskan.
“Kita hanya mahukan ahli yang amanah dan taat setia kepada parti,” katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Sri Gading, di Dewan Orang Ramai Parit Raja di sini, hari ini.
Turut hadir ialah Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, dan Ketua UMNO Bahagian Sri Gading, Datuk Mohd Lassim Burhan.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), menzahirkan penghargaan terhadap sokongan dan kesetiaan MIC serta MCA ketika gabungan parti berkenaan di ambang kejatuhan.
“Kita tahu lebih 62 tahun UMNO menjadi tulang belakang pemerintahan negara, namun tidak pernah tinggalkan rakan kita daripada MCA serta MIC dalam Perikatan dan juga BN.
“Sokongan daripada MCA dan MIC untuk membantu calon kita… kalau ada kawan baharu, jangan tinggalkan kawan lama.
“Bukan mudah untuk kita menghargai kesetiaan mereka berdiri bersama-sama kita, lebih-lebih lagi ketika kita berada dalam kesusahan,” katanya.-BH Online