Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Butterworth: Hospital Seberang Jaya (HSJ) di sini akan menjadi pusat rujukan utama zon utara bagi perkhidmatan Kardiologi dan Kardiotorasik Pediatrik sekali gus mengurangkan keperluan rujukan ke Hospital Pulau Pinang.

Ia susulan blok tambahan sembilan tingkat yang dinantikan sejak sedekad lalu siap sepenuhnya dan akan mula beroperasi secara berperingkat 5 Mei ini.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata blok tambahan itu menempatkan 316 katil, enam dewan bedah dan tujuh wad termasuk Unit Rawatan Rapi (ICU) dan High Dependency Unit (HDU).

Katanya, kapasiti keseluruhan HSJ meningkat kepada 729 katil dan 11 dewan bedah, sekaligus memperkukuh statusnya sebagai hospital rujukan utama di zon utara.

“HSJ akan menjadi pusat rujukan zon utara bagi perkhidmatan kardiologi dan kardiotorasik pediatrik, sekaligus mengurangkan keperluan rujukan ke Hospital Pulau Pinang (HPP) dan memudahkan akses rawatan pakar kepada penduduk di Seberang Perai serta kawasan sekitarnya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Penyerahan Blok Bertingkat HSJ oleh Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi kepada KKM, di sini, hari ini.

Dzulkefly berkata, blok baharu itu turut membolehkan pengoperasian perkhidmatan dan sub kepakaran penting seperti Otorinolaringologi (ENT), Kardiologi Pediatrik serta Perubatan Rehabilitasi.

“Pembinaan blok ini menyediakan kemudahan rawatan perubatan dan ruangan kerja lebih lengkap bagi menampung pesakit kian bertambah,” katanya.

Terdahulu, projek pembinaan bangunan tambahan HSJ yang bermula pada tahun 2016 dengan peruntukan RM368 juta itu pada awalnya dijadualkan siap pada tahun 2020.

Projek itu dikatakan mengalami kelewatan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan yang dilaksanakan kerana Covid-19, empat tahun lalu.-MyMetro Online