JITRA: Umat Islam diminta bersikap ‘tabayyun’ iaitu menyelidik atau menyiasat tawaran pakej haji yang tidak munasabah bagi mengelak ditipu menjelangmusim haji tidak lama lagi.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata kes penipuan haji perlu dipandang serius kerana ia berlaku saban tahun termasuk ada yang menggunakan selebriti untuk memperdayakan orang ramai.
“Bukan apa, kita tak nak wang yang mungkin dah kumpul bekerja seumur hidup nak pergi haji , hilang macam tu saja disebabkan sifat kita yang tidak tabayyun, tak semak betul-betul hingga kita tak mengetahui sama ada ejen itu bertanggungjawab atau tidak.
“Lebih sedih lagi apabila guna selebriti sedangkan selebriti ni pun tak tahu, akhirnya kita kena tipu , jangan semak dengan pihak selebriti, kena semak dengan pihak berautoriti sebab jumlah dia jumlah yang besar, jadi semak dengan TH,” katanya.
Beliau berkata ketika ditemui selepas penyerahan kunci rumah kepada pembantu kafe Universiti Utara Malaysia (UUM), Mashitoh Khasim, 41 sempena Program Sinar Lestari YAPEIM di Kampung Rawa, Changlun di sini, hari ini.
Mohd Na’im berkata untuk langkah yang lebih selamat, bakal jemaah dinasihatkan berurusan dengan 37 syarikat Pengelola Jemaah Haji (PJH) yang sah yang diberikan diberikan sijil oleh TH.
“Pada 29 haribulan ini kumpulan pertama haji berlepas, masa ni akan ada pihak tak bertanggungjawab yang cari mangsa dia untuk jadi kaya cara mudah, saya merayu orang Islam yang berhasrat nak pi haji semaklah dengan Tabung Haji,” katanya.
Mohd Na’im turut mengingatkan bakal jemaah haji supaya mengikut peraturan ditetapkan kerajaan Arab Saudi terutama berkaitan permit haji agar perjalanan ibadat haji berjalan lancar.
“Janganlah kita menunaikan haji tanpa ada permit yang sah, ini amaran yang diberikan kerajaan Arab Saudi , rakyat Malaysia memang terkenal dengan disiplin.
“Jangan disebabkan itu akhirnya Arab Saudi mengambil tindakan menarik balik keistimewaan yang diberikan kepada jemaah haji Malaysia. Janganlah disebabkan kebodohan kita sehingga menzalimi hak jemaah haji lain pada masa akan datang,” katanya.
Penerbangan pertama jemaah haji bagi musim 1446H/2025M dijadulkan pada 29 April ini dan kumpulan terakhir berlepas 30 Mei.
Penerbangan pulang pertama adalah 14 Jun dan penerbangan akhir pada 10 Julai.-BH Online