Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

SHAH ALAM: Satu mesyuarat koordinasi bagi membincangkan masalah banjir kilat di beberapa kawasan sekitar Shah Alam dan Klang, akan diadakan esok supaya isu berkenaan dapat ditangani segera.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata mesyuarat itu akan membabitkan beberapa pihak berkaitan, termasuk Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

“Saya melihat sendiri kesan banjir kilat akibat kadar hujan yang tinggi, minggu ini, sekali gus memberi impak terhadap penduduk terutama di kawasan seperti Taman Melawis, Klang, dan Taman Sri Muda di sini

“Sebagai usaha permulaan, Setiausaha Politik saya, Saifuddin Shafi, akan memanggil mesyuarat koordinasi segera, esok, membabitkan semua pihak agar isu itu ditangani segera,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Amirudin berkata, pejabatnya turut dihubungi penduduk yang menyatakan keresahan dan kebimbangan mereka terhadap situasi berulang kerana berasakan komponen Rancangan Tebatan Banjir kurang disegerakan.

Justeru, katanya, EXCO Infrastruktur Selangor, Datuk Izham Hashim, sudah diarahkan mengatasi semua isu menyebabkan proses pembinaan tebatan banjir sama ada pada peringkat tempatan, negeri mahupun Persekutuan tidak dapat disegerakan sepenuhnya.

Sambil menjelaskan langkah itu akan diambil segera, beliau berkata, Izham juga akan bertemu penduduk yang terkesan.

“Penyelesaian jangka panjang harus dilaksanakan secepat mungkin melalui kerjasama semua pihak, termasuk Kerajaan Persekutuan,” katanya.

Terdahulu, lebih 1,500 penduduk berhimpun, hari ini, untuk mendesak penyelesaian tuntas terhadap isu banjir di Taman Sri Muda, Kota Kemuning serta Batu 8, dekat sini.

Jurucakap penduduk terbabit, K Umagandhan, berkata mereka kesal dengan isu banjir yang didakwa masih berterusan, termasuk terbaru pada 11 April lalu.-BH Online