Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

JAKARTA: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan mengadakan lawatan rasmi ke Indonesia selama tiga hari bermula esok bagi memperkukuh hubungan dua hala antara kedua-dua negara dan memperluas kerjasama serantau dalam ASEAN.

Beliau dijadual tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta pada petang Ahad sebelum menghadiri majlis makan malam bersama rakyat Malaysia di Kompleks Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta Selatan.

Ahmad Zahid akan diiringi Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu serta Wakil Tetap Malaysia ke ASEAN, Datin Sarah Al Bakri Devadason selain pegawai kanan Kementerian Luar dan Agensi Pengurusan Bencana Negara.

Duta Besar Malaysia ke Indonesia, Datuk Syed Mohamad Hasrin Tengku Hussin berkata lawatan itu merupakan kunjungan rasmi pertama pemimpin tertinggi Malaysia ke Indonesia pada tahun ini selepas pembentukan kerajaan baharu negara berkenaan.

Beliau berkata lawatan itu akan memberi tumpuan kepada pengurusan bencana, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), kerjasama ekonomi, pembangunan industri halal serta keterjaminan makanan untuk memperdalam kerjasama antara kedua-dua negara.

“Lawatan ini menjadi susulan kepada kerjasama yang telah dipersetujui pemimpin kedua-dua negara sebelum ini. 

“Kita harap ini akan meningkatkan lagi hubungan dua hala di antara Malaysia dan Indonesia khususnya untuk portfolio Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Sudah tentu bila pemimpin-pemimpin bertemu, secara amnya mereka juga akan membincangkan status hubungan dua hala serta isu serantau dan global termasuk tarif mengambil kira Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini,” katanya pada sidang media bersama wartawan Malaysia di sini hari ini.

Pada Isnin, Ahmad Zahid dijadual bertemu Naib Presiden Indonesia, Gibran Rakabuming Raka di Istana Naib Presiden serta menyaksikan pemeteraian beberapa surat hasrat antara Universiti Kuala Lumpur dan Perkhidmatan Global Pendidikan Malaysia dengan pemerintah provinsi Jakarta serta Sumatera Barat di sebuah hotel di Jakarta Pusat.

Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu turut dijadual melawat Badan Nasional Pengurusan Bencana Indonesia dan Pusat Penyelarasan Bantuan Kemanusiaan ASEAN selaras usaha berterusan memperkukuh kesiapsiagaan bencana bersama di rantau ini.

Lawatan akan diakhiri dengan majlis pelepasan ASEAN Unity Drive di kompleks kedutaan yang menampilkan kereta elektrik Proton e.MAS sebelum menghadiri sesi meja bulat bersama pemain industri Indonesia bagi meneroka peluang kerjasama dalam sektor halal.

Indonesia ialah rakan dagang ketujuh terbesar Malaysia di peringkat global dan ketiga terbesar dalam kalangan negara anggota ASEAN pada 2023.

Jumlah dagangan antara kedua-dua negara mencecah RM111.21 bilion (AS$D24.39 bilion) tahun lepas. 

Bagi tempoh Januari hingga Oktober 2024, dagangan dua hala bernilai RM95.50 bilion (AS$D20.75 bilion) berbanding RM94.37 bilion (AS$D20.69 bilion) pada 2023.– BERNAMA