Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUCHING: Tan Sri Abang Johari Abang Openg yakin, hubungan akrab pimpinan kerajaan Sarawak dengan Kerajaan Persekutuan menjamin masa depan yang cerah untuk negeri ini.

Premier Sarawak itu berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sudah membuktikan komitmen tinggi untuk bersama membangunkan Sarawak.

Justeru katanya, dengan kepimpinan Kerajaan Persekutuan yang mantap, Sarawak dapat menumpu kepada usaha untuk membangunkan ekonomi baharu yang akan turut menyumbang kepada pengukuhan ekonomi Malaysia.

“Dengan jadual yang ketat selepas menerima kunjungan Presiden China (Xi Jinping) kemudian selepas itu ke Thailand dan hari ini Perdana Menteri terus ke Sarawak.

“Beliau membawa bersama pegawai kanan pentadbiran Putrajaya untuk meraikan perayaan di sini. Dengan hubungan akrab di antara Putrajaya dan Petra Jaya (Kuching) ini, masa depan Malaysia dan Sarawak adalah cerah untuk generasi akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Aidilfitri MADANI 2025 Bersama YAB Perdana Menteri di Stadium Perpaduan, Petra Jaya, di sini, hari ini.

Abang Johari berkata, rakyat negara ini harus bersyukur kerana kestabilan politik memastikan perayaan disambut dalam suasana aman.

“Ekonomi negara juga sedang berkembang walaupun ada pihak mengenakan tarif yang tinggi kepada kita,” katanya.-BH Online