Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor menegaskan tiada sebarang lesen melombong khususnya emas dikeluarkan kerajaan negeri di Sabah.

Beliau berkata, apa yang dikeluarkan kerajaan negeri sehingga kini hanyalah lesen mencari gali atau ‘prospecting licence’ (PL) sebagai kebenaran untuk syarikat melakukan kerja eksplorasi di kawasan ditetapkan.

Hajiji berkata demikian ketika menggulung perbahasan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, menjawab soalan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (WARISAN-Senallang) mengenai tanah kira-kira 400 hektar di Nagos, Semporna yang didakwa diberi kepada pihak tertentu untuk aktiviti eksplorasi mineral.null

Jelas Hajiji, lesen mencari gali bukan pajakan melombong yang membenarkan pemegang lesen melakukan pengeluaran mineral.

Bagi pajakan melombong, katanya segala kepentingan kerajaan seperti ekuiti, royalti, fi pajakan melombong dan lain-lain akan dibincang dan diputuskan dalam mesyuarat Kabinet negeri.

“Kita belum sampai ke tahap itu, kita belum pun mengeluarkan lesen melombong,” katanya.

Mengulas kawasan di Nagos itu, katanya aktiviti penerokaan mineral rumit dari segi teknikal seperti geologi kawasan, jenis mineral, infrastruktur serta memerlukan modal tinggi dan risiko juga tinggi. 

“Ia memerlukan pelaburan awal yang besar tanpa sebarang jaminan pulangan. Justeru, langkah menyerahkan kerja eksplorasi kepada syarikat swasta melindungi kerajaan negeri daripada liabiliti dan risiko kewangan.

“Ia kerana semua kos penerokaan akan ditanggung sepenuhnya syarikat swasta yang memegang lesen mencari gali terbabit. 

“Dengan memindahkan risiko kepada entiti swasta, kerajaan negeri dibebaskan daripada keperluan untuk melabur modal, mengurus operasi, atau menjalankan pemasaran dan jualan,” katanya. 

Mengulas sama ada syarikat menjalankan cari gali akan diberi lesen melombong, Hajiji berkata kerajaan mempunyai tanggungjawab untuk memberi peluang kepada syarikat terbabit.

“Soal berapa kepentingan kerajaan (dalam projek itu) 20 peratuskah, 30 peratuskah, 50 peratuskah, ini belum lagi kita sampai ke peringkat itu, mencari gali saja sekarang ini,” katanya.-BH Online