KUALA LUMPUR: Pemuliharaan Carcosa Seri Negara serta Kompleks Bangunan Sultan Abdul Samad, di sini, akan dapat memperkukuhkan identiti nasional, sekali gus memperkayakan pengalaman pelancong dan masyarakat tempatan, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, usaha memulihara kedua-dua bangunan itu yang menjadi antara mercu tanda warisan di ibu negara, juga bertepatan aspirasi Tahun Melawat Malaysia 2026.
“Saya percaya usaha ini adalah untuk memastikan bangunan bersejarah ini bukan saja dikekalkan tetapi turut dimajukan sebagai pusat kebudayaan dan ekonomi yang mampan serta boleh diakses oleh semua,” katanya dalam hantaran melalui Facebook, hari ini.
Anwar turut memaklumkan bahawa beliau diberikan penerangan oleh Khazanah Nasional Berhad (Khazanah), hari ini, mengenai status semasa kerja-kerja pemuliharaan kedua-dua bangunan ikonik itu, sebelum mempengerusikan Mesyuarat Jemaah Menteri.
“Penerangan melalui ‘gallery board walk’ ini antara lain memaparkan gambaran terkini projek yang sedang dijalankan, yakni sebahagian daripada inisiatif Khazanah untuk memulihara dan memberi nafas baharu kepada bangunan-bangunan warisan negara berkenaan,” katanya.
Pada 28 Februari lalu, Anwar dilaporkan berkata, kawasan Dataran Merdeka hingga Carcosa Seri Negara yang meliputi Bangunan Sultan Abdul Samad, akan dijadikan Tapak Warisan Kuala Lumpur.
Anwar dipetik berkata, beliau telah menyembah maklum kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, bahawa Bangunan Sultan Abdul Samad perlu dikekalkan sebagai tanda Warisan Kesultanan Melayu yang agung.
Pada 18 Februari lalu, media melaporkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, berkata Carcosa Seri Negara yang telah hampir enam tahun ditutup, bakal berwajah baharu selepas kerja-kerja pembangunan bangunan warisan negara itu siap menjelang Julai depan.
Bangunan bersejarah itu ditutup sejak 1 Jun 2019 selepas Kerajaan Persekutuan mengambil alih premis berkenaan daripada pihak ketiga.
Carcosa Seri Negara yang pernah menjadi saksi kepada pemeteraian Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1957, dibina oleh Residen Jeneral British pertama di Negeri-Negeri Melayu Bersekutu, Sir Frank Swettenham.-BH Online