Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

IPOH: Pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak boleh mengenakan syarat wajib atau berbaur paksaan kepada peniaga berasaskan makanan dan minuman (F&B) untuk mendapatkan sijil halal termasuk bagi memperbaharui lesen perniagaan.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata tindakan itu dianggap mengatasi bidang kuasa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), selain bertentangan pegangan Kerajaan Pusat.

Ini kerana, katanya Kerajaan Pusat tidak pernah memaksa, sebaliknya hanya menggalakkan pengusaha premis berasaskan F&B untuk memohon pensijilan itu.

Selain itu, beliau berkata tindakan PBT mensyaratkan pensijilan halal bagi pembaharuan lesen perniagaan juga bakal memberi beban besar kepada pengusaha khususnya kalangan peniaga dan penjaja kecil, selain menimbulkan kegusaran kepada masyarakat bukan Islam yang menjual hidangan tidak halal.

“Saya beri contoh untuk menjual nasi lemak atau goreng pisang, adakah perlu mohon sijil halal sedangkan kos sijil halal pun mencecah ribuan ringgit.. dan untuk perbaharui sijil halal itu juga tertakluk audit tahunan yang juga memerlukan pembayaran.

“Jadi saya nasihatkan PBT harus hormati dan minta nasihat JAKIM, dengan tidak melakukan apa-apa yang bercanggah keputusan Jemaah Menteri sebagai badan eksekutif tertinggi negara. 

“Kita menggalakkan, tetapi kita tidak memaksa, ia mesti atas dasar sukarela,” katanya selepas merasmikan Majlis Penutup Sentuhan Kejayaan KPKT 2024 di Meru Raya hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas laporan mengenai tindakan kerajaan Kelantan mensyaratkan pemilik dan pengusaha premis berasaskan F&B memiliki Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) sebagai syarat untuk memperbaharui lesen perniagaan.

Setakat ini, dilapor Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) di Kelantan sudah mewajibkan perkara itu.

Tambah Kor Ming, banyak aduan diterima susulan pelaksanaan itu khususnya daripada kalangan peniaga bukan Islam yang mahu menjual hidangan tidak halal kepada pelancong.

“Semalam kita memang terima banyak aduan bertanyakan bagaimana mereka yang bukan Islam ini mahu menjual kepada pelancong.

“Bagaimana mahu memohon sijil halal jika memang produk itu sendiri memang tidak halal. Adakah mahu memaksa mereka untuk ‘lingkup’, tutup kedai yang bagi saya ianya suatu kezaliman.

“Katakan, pengusaha bukan Melayu yang mahu menjual daging babi panggang. Macam mana dia nak pohon sijil halal… takkanlah nanti PBT keluarkan satu sijil halal, satu sijil non-halal (tidak halal) yang mana keadaan itu sangat tidak sihat,” katanya.-BH Online