Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Ayer Keroh: Semua 5,231 penjawat awam di Melaka akan menerima dua bantuan khas kewangan membabitkan dua kali pembayaran.

Mengumumkan perkara itu, Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, berkata pembayaran pertama akan dikreditkan pada hujung bulan ini membabitkan jumlah RM1,600 setiap penjawat awam.

Katanya, bagi pembayaran kedua pula akan diberi pada Februari tahun depan dengan jumlah setengah bulan gaji atau minimum RM1,000.

“Bantuan khas kewangan yang membabitkan implikasi kewangan kira-kira RM7 juta itu adalah sebagai menghargai khidmat semua penjawat awam Melaka dan sudah pasti pemberian kali ini lebih baik daripada tahun sebelum ini.

“Saya berharap pemberian Bantuan Khas Kewangan ini akan menyuntik semangat penjawat awam untuk terus komited bersama-sama kepimpinan kerajaan negeri untuk melaksanakan perancangan tahun 2025 demi pembangunan negeri ke arah masa depan yang lebih gemilang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Rang Undang-undang Enakmen Perbekalan 2025 (Bajet) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Melaka Ke-15 di Seri Negeri, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata, kerajaan negeri menyambut baik pelaksanaan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang diperkenalkan kerajaan Persekutuan bermula 1 Disember lalu bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan awam.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan negeri bersetuju untuk menawarkan SSPA kepada 2,631 penjawat awam tetap di bawah pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK).

Beliau berkata, peningkatan gaji ini juga akan diperluaskan kepada semua kategori penjawat awam membabitkan implikasi kewangan sebanyak RM7.5 juta pada tahun hadapan.

“Apresiasi penjawat awam kerajaan negeri sentiasa menghargai sumbangan penjawat awam dalam menjayakan agenda pembangunan negeri ini dengan menyediakan pelbagai insentif.

“Antaranya, insentif jabatan yang memenangi anugerah peringkat kebangsaan dan antarabangsa, insentif kepada Jabatan Pemungut Hasil dan Kursus Profesional Penjawat Awam di dalam dan luar negara,” katanya.-My Metro Online