Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menyifatkan kepelbagaian di Malaysia sebagai kekuatan teras negara.

Beliau berkata budaya, tradisi dan masyarakat di negara ini bukan sekadar ciri-ciri identiti Malaysia, tetapi juga asas kepada perpaduan negara.

“Semua boleh datang ke Malaysia untuk melihat kepelbagaian dan semangat tradisi yang berbeza, khususnya yang berkaitan dengan agama.

“Inilah perkara yang luar biasa. Bagi kami di Malaysia … kami menganggapnya sebagai sebahagian daripada budaya rakyat Malaysia, kuasa yang membangkitkan, memperkukuh semangat dan budaya kami,” kata beliau ketika berucap pada Festival Vaisakhi Tahun Melawat Malaysia 2026 di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Digital Gobind Singh Deo.

Anwar turut mengiktiraf peranan komuniti Sikh di Malaysia sejak sekian lama, termasuk kepentingannya dalam perjalanan peribadi beliau.

Pada majlis itu, Perdana Menteri mengumumkan peruntukan awal sebanyak RM500,000 untuk menyokong aktiviti dan sambutan komuniti Sikh di negara ini.

Vaisakhi ialah perayaan penting yang diraikan terutamanya oleh pengikut Sikh dan komuniti Punjabi, lazimnya pada pertengahan April yang menandakan pesta menuai ketika musim bunga dan peristiwa penting keagamaan yang bersejarah.-Bernama