KUALA LUMPUR: Malaysia menzahirkan ucapan takziah kepada Azerbaijan di atas tragedi membabitkan pesawat penumpang milik Azerbaijan Airlines yang terhempas di Kazakhstan, Rabu lalu.
Ucapan disampaikan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, mewakili kerajaan Malaysia ketika hadir ke Pejabat Kedutaan Azerbaijan, di sini.
Mohamad menerusi catatan di Facebook berkata kerajaan dan rakyat Malaysia menzahirkan rasa dukacita dan simpati kepada kerajaan dan rakyat Azerbaijan serta keluarga mangsa terlibat.
“Kerajaan Malaysia mendoakan agar keluarga mangsa diberikan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi saat-saat yang sukar ini.
“Malaysia mengulangi komitmen untuk terus memperkukuh hubungan diplomatik dan persahabatan dengan Azerbaijan, dalam menghadapi cabaran bersama di peringkat antarabangsa,” katanya.
Pesawat Azerbaijan Airlines pada Rabu yang dalam perjalanan dari Baku ke bandar Grozny di Republik Chechen, Russia terhempas berhampiran Aktau, yang terletak di pantai Laut Caspian, dengan membawa 67 orang penumpang.
Pegawai Kazakhstan melaporkan seramai 38 orang terkorban dalam nahas itu, manakala 29 terselamat.-BH Online