KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) memperluaskan inisiatif pengambilan guru dalam kalangan graduan berpotensi tinggi dari unviversiti swasta dan luar negara bagi mengisi jurang kekurangan guru di sekolah kerajaan.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata ia antara rancangan jangka pendek yang direncanakan oleh kementeriannya.
Selain itu, beliau berkata, KPM juga akan melaksanakan pelantikan guru secara kontrak dalam kalangan graduan yang tidak mempunyai ikhtisas pendidikan.
“Justeru, guru-guru lantikan kontrak ini atau ‘contract of service (COS)’ akan dipersiapkan dengan ilmu kemahiran dan sikap yang sesuai melalui program Diploma Pascasiswazah Pendidikan selama setahun di Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM).
“Pelaksanaan program Diploma Pascasiswazah Pendidikan sepenuh masa selama setahun kepada graduan tanpa pendidikan bermula 2024,” katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Chiew Choon Man (PH-Miri) berhubung langkah diambil KPM untuk mengatasi masalah kekurangan guru di Sarawak yang berlarutan sejak sekian lama serta perkembangan terkini berhubung usaha sedang dilaksanakan bagi menyelesaikan isu terbabit.
Mengenai langkah jangka panjang pula bagi menangani isu kesenjangan guru, Fadhlina berkata, pihaknya melaksanakan pengambilan guru bagi program praperkhidmatan lepasan STPM, STAM dan program matrikulasi dalam beberapa bidang pengkhususan untuk keperluan guru sekolah rendah bermula tahun ini.
Pada masa sama, beliau berkata, KPM juga menubuhkan Jawatankuasa Pengambilan dan Penempatan Guru yang berperanan mengenal pasti perubahan yang berlaku dalam dasar kokurikulum, program dan enrolmen yang memberi implikasi kepada keperluan guru.
“Seterusnya penubuhan jawatankuasa itu bagi memastikan keseimbangan dalam pengambilan serta penamatan guru sekolah KPM,” katanya.
Sepanjang tahun ini, Fadhlina berkata, KPM berjaya menempatkan 13,749 guru baharu lantikan tetap dan COS bagi sekolah rendah serta menengah.
“Daripada jumlah itu, 1,697 guru ditempatkan di Sarawak dan menjadikan ia antara negara tertinggi menerima guru baharu,” katanya.-BH Online