KUALA LUMPUR: Malaysia komited meningkatkan Perjanjian Pengiktirafan Bersama (MRA) dan menjadi penggerak dalam usaha mewujudkan kawal selia lebih cekap serta bersepadu dalam sistem penjagaan kesihatan di rantau ini, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, ia termasuk memastikan keselamatan bagi peranti perubatan, memperkukuh sistem penjagaan pesakit, penambahbaikan infrastruktur dan penggunaan teknologi moden dalam rawatan.
Beliau berkata, aspek kesihatan menjadi satu daripada tonggak penting bukan sahaja di bawah ASEAN, malah sebahagian daripada strategi di bawah Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030).
“Mengambil kira peranan sebagai Pengerusi ASEAN semakin hampir iaitu pada 2025, Malaysia komited sepenuhnya untuk meningkatkan MRA dan memimpin usaha mewujudkan kawal selia lebih cekap dan bersepadu bagi rangka kerja di rantau ini.
“Sebagaimana kita tahu, tumpuan utama kepengerusian ASEAN tahun depan adalah mewujudkan grid tenaga ASEAN, manakala yang kedua (tumpuan) digitalisasi dan penjagaan kesihatan.
“Ia dikenal pasti sebagai tonggak pertumbuhan mampan bukan sahaja di bawah strategi ASEAN tetapi menjadi fokus di bawah NIMP 2030,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutup Pameran dan Persidangan Peranti Perubatan Antarabangsa (IMDEC) 2024 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), hari ini.
Yang turut hadir, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.
Anwar berkata, tentunya Kementerian Kesihatan (KKM) berdepan cabaran cukup besar untuk merealisasikan hasrat itu, terutama untuk menjadikan Malaysia hab pembuatan perubatan berteknologi tinggi dan inovasi penjagaan kesihatan.
“Kita lihat penekanan negara ini dalam bidang transformasi digital dan AI (kecerdasan buatan) adalah secara bersungguh-sungguh, jadi ia memerlukan kesediaan rakan-rakan yang memimpin KKM khususnya Dr Dzulkefly menerimanya sebagai satu cabaran dan ia tentu menuntut perubahan yang agak mendadak.
“(Ini termasuk) masalah perolehan yang lebih telus, yang boleh memberi manfaat kepada rakyat dan tidak terikat dengan peraturan, kaedah dan pendekatan lama.
“(Selain itu) soal jaringan yang tentunya akan dapat diperbaiki dengan kemudahan digital dan AI yang kita perkenalkan termasuk di KKM,” katanya.
Tambahnya, walaupun negara berdepan kekangan daripada segi kewangan, kerajaan masih memperuntukkan belanjawan kedua tinggi bagi 2025.
Ini katanya bagi membolehkan KKM mempertingkat kualiti sistem kesihatan sedia ada termasuk dari segi infrastruktur, peningkatan kemahiran (‘upskilling’) petugas dan integrasi digital yang lebih maju termasuk AI, Internet Pelbagai Benda (IoT) dan teknologi rangkaian 5G.
Pada majlis sama, Anwar turut menyampaikan anugerah pencapaian seumur hidup kepada dua tokoh penyelidikan dan pembangunan teknologi peranti perubatan iaitu Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Vista Robotic, Roy Chin dan Pensyarah Jabatan Kejuruteraan Bioperubatan, Fakulti Kejuruteraan, Universiti Malaya (UM), Prof Ir Dr Fatimah Ibrahim.
IMDEC yang berlangsung Selasa lalu dengan menampilkan tema ‘Meledakkan Kuasa Teknologi Perubatan, Membentuk Masa Depan Penjagaan Kesihatan’ menyediakan platform dialog bersama industri, perkongsian ilmu dan kerjasama dalam menangani cabaran kritikal serta menerokai kemajuan teknologi yang mentransfromasi sistem penjagaan kesihatan.-BH Online