Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA: Beli minyak masak paket satu kilogram (kg) daripada syarikat pembungkus pada skala besar sebelum dipindahkan ke dalam tangki dan dijual semula sebagai minyak masak terpakai pada harga lebih tinggi ke seluruh negara.

Minyak masak itu dibeli pada harga subsidi RM2.50 sebelum diproses menjadi minyak masak terpakai dan dijual kepada industri pada harga RM3.80 satu kg.

Itu modus operandi dikesan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) hasil serbuan di dua premis di Taman Kajang Jaya dan Bandar Rinching, kelmarin.null

Menteri, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata dalam serbuan kira-kira jam 1.30 tengah hari itu, 11 warga asing dan empat rakyat tempatan berusia antara 25 hingga 45 tahun ditahan selain berhasil menemui 14,340kg minyak masak bersubsidi pelbagai jenama bernilai RM429,850.

“Pasukan serbuan menyerbu lokasi pertama, iaitu sebuah rumah kediaman yang disyaki dijadikan stor haram untuk menjalankan kegiatan memotong minyak masak paket satu kg bersubsidi, sebelum dikumpulkan dan dihantar ke premis yang membeli dan menjual minyak masak terpakai di Semenyih, Selangor. 

“Bekalan minyak masak bersubsidi itu dipercayai diperoleh daripada pemborong di Lembah Klang dan beberapa lokasi lain yang sedang dikenal pasti,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Armizan berkata, susulan itu pihak berkuasa menyerbu sebuah premis perniagaan yang menjalankan aktiviti menjual dan membeli minyak masak terpakai di Bandar Rinching.null

Katanya, premis terbabit disyaki berselindung di sebalik perniagaan membeli dan menjual minyak masak terpakai, dengan menjadikan premis terbabit sebagai tempat pengumpulan dan pengedaran minyak masak tanpa lesen yang sah di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122).

“Serbuan juga menemukan beberapa peralatan lain yang digunakan untuk melakukan kegiatan haram ini seperti hos penyambung, pam bermotor, telefon bimbit dan beberapa tangki IBC.

“Pasukan serbuan juga bertindak menyita semua minyak masak terbabit termasuk peralatan yang digunakan, tiga lori, sebuah kereta mewah dan beberapa dokumen perniagaan yang berkaitan,” katanya.

Beliau berkata, semua suspek kini direman empat hari sehingga Sabtu ini bagi membantu siasatan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

Katanya, siasatan awal mendapati sindiket terbabit sudah beroperasi sejak enam bulan lalu dengan menjual minyak masak terpakai kepada industri yang dipercayai untuk dijadikan biodiesel.

Sindiket terbabit juga dipercayai mampu mengaut keuntungan sehingga RM20,000 sehari dengan menjual minyak masak paket yang ditukarkan kepada minyak masak terpakai itu.

KPDN kini sedang mengenal pasti pihak lain yang bersubahat dalam aktiviti sindiket berkenaan khususnya yang terbabit dalam rantaian pengedaran minyak masak itu.

“Kita tidak menolak kemungkinan ada syarikat pembungkus (minyak masak paket) bersubahat dengan sindiket ini berdasarkan pelbagai jenama minyak masak yang ditemui dalam serbuan itu, namun kita akan menjalankan siasatan lanjut mengenainya,” katanya.-BH Online