Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Putrajaya: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengajak semua rakyat memanfaatkan sambutan Hari Kebangsaan 2024 yang disambut baru-baru ini, untuk memperbaiki prestasi dalam segala bidang.

Perdana Menteri berkata, acara sambutan yang dihadiri Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah itu amat luar biasa dan menunjukkan satu semangat yang mengesankan.

“Kita bersyukur kerana sambutan kemerdekaan ini begitu menyemarakkan semangat rakyat dan saya perhatikan sambutan itu hebat dan luar biasa di seluruh negara.

“Jadi kita (perlu) memanfaatkan ini untuk meyakinkan, pertama diri kita dan tentunya, manfaat kepada negara iaitu dengan memperbaiki prestasi kita dalam segala bidang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri (JPM) di sini, hari ini, yang turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.

Anwar berkata, acara Hari Kebangsaan bukan sahaja meriah di peringkat tempatan, malah sambutannya amat luar biasa di negara lain seperti Perancis dan Sepanyol.

“Jadi saudara kita bersyukur kerana negara aman, stabil dan semangat rakyat itu kian menyemarak sekarang, ia tidak malap dan lembap.

“Saya nak ucapkan terima kasih kepada semua, (sambutan) dipengerusikan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil tetapi, saya tahu semua jabatan terutama Jabatan Perdana Menteri yang sangat terkait dengan beberapa acara utama.

“(Terima kasih juga kepada) anak-anak sekolah, institusi pengajian tinggi dan pertunjukan daripada angkatan pertahanan kita terutama udara sangat menakjubkan,” katanya.

Pada sambutan Hari Kebangsaan 2024, Sabtu lalu, lebih 100,000 hadirin memenuhi Dataran Putrajaya, di sini sekali gus menjadi saksi perpaduan dan prinsip kebersamaan dalam menyemai semangat patriotisme yang diwarnai kibaran Jalur Gemilang.

Bertemakan Malaysia MADANI: Jiwa Merdeka, sambutan tahun ini juga menyaksikan pembabitan seramai 13,009 peserta persembahan dan perarakan, 112 haiwan dalam perkhidmatan, 439 aset darat dan udara daripada pelbagai agensi di lokasi acara sambutan.-Harian Metro Online