PUTRAJAYA: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menzahirkan rasa gembira dengan perjalanan sepanjang sambutan Hari Kebangsaan 2024 hari ini.
Baginda bertitah demikian kepada Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan Hari Malaysia (HKHM) 2024, Fahmi Fadzil sebelum berangkat pulang sejurus selesai acara.
Fahmi berkata, Yang di-Pertuan Agong turut menzahirkan rasa gembira kerana ketepatan masa sambutan itu berlangsung.
“Tuanku bertitah bahawa baginda sangat gembira dengan perjalanan sambutan hari ini berjalan tepat pada masanya.
“Tuanku sangat gembira,” katanya ketika ditemui selepas majlis sambutan itu berakhir.
Hari Kebangsaan 2024 adalah sambutan rasmi pertama dihadiri baginda selepas ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-17.
Dalam pada itu, Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan penganjuran sambutan tahun ini adalah yang terbaik pernah beliau lihat.
“Perdana Menteri ada memaklumkan bahawa sangat gembira dan berkata bahawa ini adalah yang terbaik pernah beliau lihat.
“Ini adalah yang terbaik. Alhamdulillah,” katanya.-BH Online