Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk hadir beramai-ramai ke Himpunan Solidariti Palestin di Axiata Arena, Bukit Jalil, Ahad ini. 

Perdana Menteri berkata, himpunan bermula jam 6.30 petang itu adalah tanda sokongan dan solidariti Malaysia bersama rakyat Palestin.

“Bersama-sama kita mendoakan semoga Allah SWT memberikan kekuatan kepada saudara-saudara kita di Palestin untuk terus berjuang demi kemerdekaan mereka. 

“Rakyat Malaysia bersama Palestin! Allahu Akbar !” kata beliau melalui Facebook, hari ini.

Sebelum ini, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, berkata satu perhimpunan solidariti bersama Palestin akan diadakan Ahad ini bagi memberi isyarat jelas pendirian rakyat Malaysia kepada masyarakat antarabangsa. 

Katanya, perhimpunan itu diputuskan pada mesyuarat Jemaah Menteri semalam yang dijangka dihadiri Perdana Menteri, barisan Kabinet dan pemimpin negara. 

Perhimpunan solidariti bersama Palestin itu adalah yang kedua diadakan selepas acara sama berlangsung di Axiata Arena pada 24 Oktober tahun lalu. 

Semalam, media melaporkan kematian Ketua Sayap Politik Hamas, Ismail Haniyeh di Tehran, Iran, yang mana Hamas mendakwa ia dilakukan rejim Zionis. 

Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya pembunuhan Ismail yang juga bekas Perdana Menteri Palestin itu serta seorang pengawal peribadinya.-BH Online