Kementerian Pertahanan (MINDEF) tetap mengutamakan keselamatan anggota tentera Malaysia, Batalion 850-11 (MALBATT 850-11) bagi Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNIFIL) di Lubnan susulan ketegangan ke arah peperangan yang sedang melanda negara itu ketika ini.
Timbalan Menterinya, Adly Zahari, berkata segala kemungkinan diambil kira dalam memastikan keselamatan anggota tentera Malaysia yang terbabit dalam misi pengaman di negara Asia Barat itu, jika pilihan diambil bukan membawa pulang segera anggota tentera Malaysia di sana.
“Walaupun tahu kita berada di bawah payung PBB, tetapi pada masa sama, semua kemungkinan kita ambil kira dan yang paling penting adalah keselamatan anggota kita.
“Dalam misi pengaman, keselamatan anggota menjadi keutamaan dan kita melihat perkembangan semasa serta membuat keputusan berdasarkan pilihan yang kita ada tetapi terasnya dengan mengambil kira keselamatan anggota yang menjadi fokus utama,” katanya selepas Program Pemerkasaan Usahawan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) (PUVET ATM) Siri 2/2024 di sini.
null
Khamis lalu, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan dilapor berkata, setakat ini tiada keperluan untuk membawa pulang pasukan MALBATT 850-11 di Lubnan bagi misi UNIFIL susulan konflik Palestin-Israel yang semakin meruncing.
Mohamad dilapor berkata, walaupun keadaan di Lubnan kini merisaukan, namun keadaan semasa masih terkawal dan pihaknya sentiasa meneliti perkembangan di Semenanjung Gaza dan kawasan sekitar terutama berlaku ketegangan serta pembunuhan terhadap rakyat di Lubnan berikutan konflik itu.
Agensi berita antarabangsa sebelum ini melaporkan beberapa negara menyeru rakyat mereka meninggalkan Lubnan di tengah-tengah kebimbangan mengenai perang antara Israel dan kumpulan Hizbullah, antaranya Arab Saudi, Australia, Jerman, Kanada, Amerika Syarikat, Ireland, Jordan dan United Kingdom.-BH Online