KUALA LUMPUR: Insiden letupan dipercayai dron yang tidak dikenal pasti berhampiran kawasan Markas Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL HQ), Naqoura semalam tidak membabitkan pegawai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di kawasan itu.
Kejadian berlaku kira-kira jam 5.30 petang (waktu Malaysia) berhampiran Malaysia House iaitu kemudahan rehat bagi lima pegawai ATM yang bertugas sebagai Pegawai Staf Tentera (PST) di bawah UNIFIL HQ di Naqoura.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, lokasi berkenaan berada kira-kira 24 kilometer dari Kem Marakah, iaitu penempatan utama MALBATT 850-13 di selatan Lubnan.
Menurutnya, sebelum kejadian, kira-kira jam 5.19 petang (waktu Malaysia), siren amaran dibunyikan dan arahan untuk memasuki bunker dikeluarkan kepada semua PST yang bertugas di Markas UNIFIL sebagai langkah keselamatan susulan situasi ancaman di kawasan operasi.
“Letupan berkenaan dipercayai berlaku berhampiran pagar perimeter UNIFIL HQ pada jarak kira-kira 20 meter daripada Malaysia House dan mengakibatkan kerosakan kecil pada bahagian luar serta dalam bangunan berkenaan.
“Bagaimanapun tiada sebarang kecederaan atau kehilangan nyawa dilaporkan membabitkan PST Malaysia mahupun staf UNIFIL, memandangkan kesemuanya berada di dalam bunker ketika kejadian berlaku,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, susulan insiden itu, kawasan sekitar Malaysia House ditutup sementara bagi tujuan siasatan dan pemeriksaan keselamatan oleh pihak berkuasa UNIFIL serta elemen berkaitan.
“Pada masa sama, penilaian lanjut sedang dilaksanakan bagi mengenal pasti tahap kerosakan membabitkan struktur bangunan dan peralatan, manakala tindakan susulan berkaitan pembaikan akan diselaraskan melalui elemen MALBATT 850-13.
“Kementerian Pertahanan melalui Markas Angkatan Bersama akan terus memantau rapat situasi semasa di kawasan operasi di samping bekerjasama rapat dengan pihak UNIFIL dan elemen berkaitan bagi memastikan keselamatan anggota Malaysia sentiasa terpelihara,” katanya.-BH Online
