Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA: Kerajaan jangka kenaikan harga makanan akan terus berlaku menjelang separuh kedua tahun ini susulan krisis tenaga global ketika ini yang memberi kesan kepada kos penghantaran termasuk untuk baja dan makanan ternakan.

Berikutan itu, kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, kerajaan sudah mula mengambil langkah dan inisiatif awal untuk menangani jangkaan itu.

Beliau berkata, kesan kenaikan harga minyak dunia dijangka memberi tekanan kepada rantaian bekalan makanan termasuk sektor penternakan dan perikanan negara.

Katanya, kerajaan juga khuatir dengan peningkatan kos bijirin ternakan dan soya yang menjadi bahan utama makanan ternakan ayam.

“Kita tak boleh rasa selesa selepas mengetahui masalah ini, terutama sekali bila berlaku kenaikan harga bahan makanan ayam khasnya jagung ternakan dan juga soya.

“Maka akan berlaku perubahan harga dan sebagainya. Kita akan pantau dengan rapi kalau ada perubahan-perubahan itu,” katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan Agro Penjaja -i, di Wisma Tani, hari ini. 

Mohamad berkata, Malaysia masih bergantung kepada import bijirin untuk makanan ternakan dari pelbagai negara termasuk Brazil dan Argentina manakala bekalan beras pula diimport dari Pakistan, India serta Bangladesh.

Beliau berkata, walaupun tiada gangguan penghantaran ketika ini, kenaikan harga minyak dunia tetap memberi kesan kepada kos logistik dan bahan pertanian.

“Tidak ada gangguan, cuma apabila berlaku kenaikan harga minyak, kos penghantaran akan meningkat. Serupa juga dengan baja, apabila berlaku krisis tenaga ia akan babitkan semua,” katanya.

Beliau berkata, bagi mendepani kesan krisis tenaga global, kementeriannya turut mengambil langkah awal memperkukuh sektor akuakultur.

Ini bagi memastikan bekalan protein negara kekal stabil jika hasil tangkapan laut berkurangan dalam tempoh beberapa bulan mendatang, akibat peningkatan kos operasi nelayan.

“Ketika ini saya dan Kementerian memberi tumpuan kepada bidang akuakultur supaya dalam masa tiga empat bulan lagi pengeluaran ikan ini akan menampung protein kalaulah berlaku kekurangan tangkapan laut,” katanya.

Bagaimanapun, Mohamad memberi jaminan bekalan makanan asas ketika ini masih terkawal termasuk beras yang mencukupi sehingga hujung tahun.

Katanya, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) juga terpaksa mencari jalan bagi mengelakkan kerugian akibat lebihan bekalan di pasaran isu lambakan sayur di Cameron Highlands.-BH Online