Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menyifatkan terdapat banyak fahaman dan ajaran Islam berbeza-beza di negara ini hingga menjadikannya sebagai ‘rojak’.

Baginda bertitah, agama Islam diamalkan negara ini berlandaskan kepada ajaran Ahli Sunnah Wal-Jamaah dan fahaman berbeza itu memecah-belahkan umat.

“Janganlah kita dibodoh-bodohkan dengan ajaran oleh pihak yang ada kepentingan sendiri.

“Jika keadaan ini berterusan, macam mana umat Islam hendak bersatu? Awak semua fikirlah betul-betul. Saya cuma boleh mengingatkan sahaja. Awak semua buat pilihan,” titah baginda.

Baginda bertitah pada Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan di sini.

Turut berangkat, Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah.

Hadir sama ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul dan isteri Anwar, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Hakimah Mohd Yusoff.

Dalam pada itu, Sultan Ibrahim mengingatkan semua pihak di negara ini agar tidak bersikap keterlaluan terutama dalam isu berkaitan kaum dan agama sehingga boleh mencetus perbalahan.

“Semua kaum ada budaya dan agama sendiri. Kita mesti hidup dengan hormat-menghormati di antara satu sama lain.

“Sesungguhnya semua umat Islam itu adalah bersaudara. Perbezaan bangsa, budaya dan asal usul tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk kita berselisih faham, caci-mencaci dan tuduh- menuduh di antara satu sama lain.

“Justeru, saya menggesa supaya kita menguatkan semangat hidup bersaudara untuk membentuk generasi masa hadapan negara yang bersatu padu,” titah baginda.

Baginda turut menggesa supaya rakyat negara ini mengelakkan sebarang bentuk provokasi, fitnah dan hasad dengki yang boleh merosakkan ikatan perpaduan yang sudah lama terjalin.

“Kita juga perlu sentiasa menjaga keharmonian ini dengan sikap saling menghormati, saling memahami dan bertolak ansur.

“Sebagai contoh, penggunaan pembesar suara di masjid dan surau yang kadang-kala menimbulkan isu kepada penduduk setempat.

“Sebagai negara Islam, laungan azan ketika masuk waktu solat adalah wajar dibuat dengan kuat. Namun, bacaan al-Quran, solat dan kuliah agama harus dibuat di dalam kawasan masjid itu sahaja,” titah baginda.-BH Online