Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Sungai Petani: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memandang serius keluhan mahasiswa berhubung pelaksanaan peluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang berkuat kuasa 1 Julai lalu.

Menterinya, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, kementerian akan meneliti secara mendalam perkara itu bagi memastikan kebajikan dan suara mahasiswa terus menjadi keutamaan.

Katanya, ia turut meliputi perkhidmatan serta barangan yang didakwa menyumbang kepada peningkatan kos sara hidup dalam kalangan pelajar.

“Kita akan memperincikan dengan apa yang dimaksudkan tetapi yang diumumkan oleh kerajaan iaitu kenaikan kepada pelajar antarabangsa yang datang belajar ke negara kita dengan kenaikan tarif atau kenaikan cukai pengajian mereka ke Malaysia.

“Di pihak kita sudah pun disampaikan perkara berkenaan, saya kumpulkan maklum balas itu manakala bagi peringkat yang lain mungkin ada hal-hal yang berkaitan secara langsung atau tidak langsung dengan pelajar kita,” katanya.

Zambry yang juga Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Merbok, di sini hari ini.

Zambry berkata, semua naib canselor universiti sudah diminta menjalankan kajian berhubung impak SST terhadap mahasiswa, termasuk dari aspek pembelajaran dan perbelanjaan harian.

“Contohnya bagi pelajar yang mungkin tinggal di rumah-rumah sewa, jika rumah sewa tentu terkesan daripada kenaikan tarif elektrik di rumah berkenaan, mungkin dari segi pembayaran, itu pun saya minta naib-naib canselor untuk membuat kajian,” katanya.

Semalam, media melaporkan Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Utara Malaysia (UUM), Mohamad Amar Aidid Mohd Zain dilaporkan berkata peluasan SST memberi implikasi kewangan kepada mahasiswa.

Beliau memaklumkan bahawa pelaksanaan SST terhadap perkhidmatan langganan digital, pembaikan alat elektronik, dobi dan pembelian dalam talian memberi kesan langsung kepada kos sara hidup pelajar.

Menurutnya, kebanyakan pelajar tergolong dalam kumpulan berpendapatan rendah dan amat bergantung kepada pinjaman pendidikan serta bantuan keluarga untuk menampung kos pengajian.-MyMetro Online