Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Individu yang positif COVID-19 akan dirawat sama seperti jangkitan saluran pernafasan lain dan tidak lagi diberikan Perintah Pengawasan dan Pemerhatian (HSO) atau arahan kuarantin di rumah berkuat kuasa 15 Julai ini.

Kementerian Kesihatan (KKM) dalam kenyataan, memaklumkan peraturan baharu itu turut terpakai kepada pemakaian pelitup muka, di mana individu disahkan positif COVID-19 hanya digalak memakai pelitup muka, meminimumkan interaksi sosial dan mengelakkan tempat sesak.

Katanya, peraturan baharu itu dikuatkuasa selepas jumlah kes COVID-19 yang dilaporkan serta kes kematian menunjukkan penurunan, selain tiada varian baharu dikesan di Malaysia sehingga kini.

“Bagaimanapun, individu itu (disahkan positif) masih berpotensi menyebarkan jangkitan COVID-19. 

“Oleh itu, atas tanggungjawab sosial, individu terbabit digalakkan untuk kekal berada di rumah atau tempat kediaman. Elakkan berinteraksi rapat dengan orang lain dan sentiasa mengamalkan langkah-langkah kawalan dan pencegahan kesihatan awam sekiranya perlu keluar rumah atau tempat kediaman,” katanya.

Selain itu, katanya, individu berkenaan boleh mendapatkan pemeriksaan dan rawatan lanjut di fasiliti kesihatan berhampiran sekiranya gejala berterusan atau bertambah teruk. 

“Pemberian Sijil Cuti Sakit dan rujukan ke hospital (jika perlu) adalah berdasarkan penilaian Pegawai Perubatan yang merawat,” katanya.

Menurut kenyataan lagi, setakat ini varian yang sedang menular di Malaysia adalah masih varian Omicron dengan subvariannya terdiri daripada Variant of Concern (VOC), Variant of Interest (VOI), dan Variant Under Monitoring (VUM).

“Sehingga 29 Jun lalu, sebanyak 854 kumulatif kes Currently Circulating Variant of Interest (VOI) dilaporkan dengan pecahan kes sebanyak 581 kes JN.1 dan sublineages (68 peratus) 233 kes EG.5 dan sublineages (27.3 peratus) dan 40 kes BA.2.86 dan sublineages (4.7 peratus).

“Bagi VUM, Malaysia turut melaporkan subvarian baharu yang disenaraikan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) iaitu LB.1 sebanyak 12 kes (57.1 peratus),” katanya turut menjelaskan subvarian yang sedang menular ini tidak menyebabkan jangkitan yang lebih teruk kepada individu yang dijangkiti.

Katanya, biarpun negara akan memasuki peralihan fasa hidup bersama COVID-19, KKM akan sentiasa memantau situasi terkini COVID-19 di peringkat global dan Malaysia. 

“KKM mempunyai kaedah pemantauan untuk menilai situasi COVID-19 sejak fasa awal pandemik yang dikenali sebagai Sistem Amaran Awal (HAS) dan masih digunakan sehingga kini.

“Tiga indikator yang dipantau dalam HAS ialah kes baharu COVID-19, kes kematian COVID-19, dan kemasukan kes COVID-19 ke hospital. Peningkatan kes dari semasa ke semasa adalah dijangkakan dan orang ramai disarankan untuk hidup bersama COVID-19 dengan mengamalkan langkah-langkah pencegahan dan kawalan,” katanya.

Katanya, komitmen dan kerjasama rakyat adalah kunci kepada kejayaan pencapaian peralihan fasa hidup bersama COVID-19. 

“Namun begitu, kita tidak boleh alpa dengan situasi semasa. Orang ramai dinasihatkan untuk mengambil langkah-langkah perlu untuk memperkasakan diri, menjaga kesihatan masing-masing serta mencegah daripada mendapat jangkitan atau menularkannya kepada orang lain,” katanya.-BH Online