Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap seharusnya membuka peluang dan dijadikan platform untuk parti bertanding menampilkan agenda dan manfaat yang ingin dibawa kepada rakyat, kata Naib Presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Beliau berkata, sekiranya pengundi mengambil bahagian dalam PRK Sungai Bakap atas dasar protes semata-mata tanpa mengambil kira parti mana lebih mampu membawa agenda terbaik, mereka dikhuatiri membazirkan peluang yang ada itu.

“Rakyat bebas memilih sesiapa yang bertanding tetapi kalau atas dasar protes semata-mata bagi saya satu perkara yang tak berapa kena sebab undi satu perkara sangat berharga kita tak mahu dibazirkan begitu sahaja.

“Kita nak rakyat dapat pilih siapa yang mereka rasa dapat membawa agenda terbaik kepada mereka dan menjadi penghubung antara kawasan Sungai Bakap ini dengan kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan.

“Jadi saya berpandangan itulah kelebihan yang pada calon Kerajaan Perpaduan,” katanya kepada BH ketika menghadiri program memasak resipi ibu di Dewan Serbaguna Tasek, Simpang Ampat di sini.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam itu berkat, isu dibangkitkan pihak lawan misalnya berkenaan penyasaran subsidi diesel menimbulkan persepsi kurang tepat sedangkan hakikat sebenarnya 80 peratus daripada rakyat terus dibantu.

Dalam aspek pelarasan tarif elektrik pula, beliau berkat, 85 peratus daripada rakyat biasa tidak terjejas dan terus menikmati apa yang sepatutnya diperoleh.

“Bagi saya tak timbul isu kecuali semua (subsidi) ditarik balik. Lepas kita buat penyasaran subsidi elektrik tahun ini harga barang masih lagi dalam keadaan terkawal. 

“Ya, saya tengok beberapa banner (gegantung) dan sebagainya mereka nak menimbulkan sentimen sedangkan ia tidak berasas,” katanya.

Nik Nazmi berkata, beliau sendiri turut bergerak mendekati pengundi dari rumah ke rumah semalam termasuk giat mengadakan sesi bertemu anak muda bagi memastikan peratusan keluar mengundi pada kadar tertinggi.

Beliau optimis jika pihaknya memaksimumkan undi daripada pihak penyokong biasa Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) calon yang diketengahkan akan mempunyai asas kuat untuk memenangi pilihan raya itu.

“Semua pengundi penting termasuk pengundi muda dan atas pagar sebab itu kita kena sampai ke ruang mereka banyak gunakan iaitu media sosial dan sekarang kita banyakkan menghantar mesej menerusi platform itu.

“Kita harap semua mereka keluar mengundi dan menghargai peluang itu termasuk undi 18 tahun semua gunalah sebaik mungkin sebagai satu usaha yang konstruktif demi masa depan Sungai Bakap,” ujarnya.

PRK DUN Sungai Bakap pada 6 Julai ini menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon PHDr Joohari Ariffin dan calon PN Abidin Ismail, yang diadakan susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tempoh berkempen 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon bertanding Sabtu lepas hingga 11.59 malam, 5 Julai ini.-BH Online