Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

BUTTERWORTH: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) sedang menggubal Akta Koperasi baharu bagi menggantikan Akta Koperasi 1993 sebagai usaha mereformasi pentadbiran gerakan koperasi di Malaysia.

Menteri berkenaan Steven Sim berkata akta baharu itu akan memberikan lebih fleksibiliti kepada koperasi yang memenuhi syarat untuk membuat pelaburan tanpa perlu mendapatkan kelulusan terlebih dahulu daripada Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), di samping mengekalkan mekanisme kawal selia bagi melindungi kepentingan ahli.

“Kini, kita dalam proses untuk merangka dan menggubal Akta Koperasi yang baharu bagi menggantikan Akta Koperasi 1993 yang lama. Antara tujuan penggubalan akta ini secara substantifnya, untuk mereformasi dan memperbaharu pentadbiran koperasi-koperasi di Malaysia.

“Contohnya, untuk memudah cara perniagaan koperasi, kriteria, syarat dan proses pelaburan, dan sebagainya,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Koperasi Negara 2026 Peringkat Kebangsaan di PICCA@Butterworth Arena, di sini hari ini, yang turut dihadiri Pengerusi SKM Leftenan Jeneral (B) Datuk Ahmad Norihan Jalal.

Pada masa sama, Sim turut mengumumkan dua reformasi utama bagi sektor Ar-Rahnu koperasi yang akan berkuat kuasa mulai September ini bagi menjadikan perkhidmatan pajak gadai Islam itu lebih telus, berdaya saing dan mesra pengguna.

Beliau berkata di bawah reformasi pertama, fi dan caj sebanyak 2.5 peratus ke atas nilai marhun akan dimansuhkan, manakala kadar keuntungan Ar-Rahnu akan diselaraskan hingga satu peratus sebulan bagi ahli koperasi dan hingga dua peratus sebulan bagi pelanggan bukan ahli.

Reformasi kedua pula, katanya, membolehkan koperasi yang menjalankan perkhidmatan Ar-Rahnu melaksanakan lelongan barangan pajakan secara tender sebagai alternatif kepada kaedah lelongan awam dan e-lelong, yang dijangka meningkatkan ketelusan, mengurangkan kos pelaksanaan serta mewujudkan proses yang lebih fleksibel dan berdaya saing.

“Sama ada dari segi penggubalan akta baharu ataupun pengurangan kos, pemansuhan fi dan sebagainya, langkah ini juga sebahagian daripada usaha KUSKOP untuk membantu gerakan koperasi menambah baik proses birokrasi dan menambah baik keadaan mereka untuk membuat perniagaan,” katanya.

Dalam pada itu, Sim berkata sektor koperasi negara terus mencatat pertumbuhan memberangsangkan apabila perolehan perniagaannya meningkat hampir 20 peratus kepada hampir RM82 bilion pada 2025 berbanding RM68 bilion pada tahun sebelumnya.

Beliau berkata momentum itu turut didorong oleh peningkatan skala koperasi di seluruh negara apabila 138 koperasi mikro berjaya berkembang kepada koperasi kecil, 33 koperasi kecil meningkat kepada koperasi besar, manakala 16 koperasi sederhana berjaya melonjak ke kategori koperasi kluster besar.

Katanya, aktiviti Ar-Rahnu koperasi turut menunjukkan pertumbuhan memberangsangkan apabila merekodkan perolehan RM17 bilion pada 2025, bersamaan dengan 21 peratus daripada keseluruhan perolehan sektor koperasi, meningkat daripada RM1.6 bilion pada tahun sebelumnya.

“Setakat 31 Dis 2025, Malaysia mempunyai 16,468 koperasi berdaftar dengan hampir 7.3 juta anggota. 

“Hal ini bermakna seorang daripada setiap empat rakyat Malaysia merupakan ahli koperasi. Gerakan koperasi negara kini memiliki modal syer dan yuran berjumlah RM18.6 bilion serta aset bernilai RM186.7 bilion,” katanya.

Sehubungan dengan itu, bagi terus memperkukuh sektor berkenaan, beliau berkata kerajaan memperuntukkan RM254 juta melalui SKM pada tahun ini, iaitu peruntukan terbesar dalam sejarah gerakan koperasi sejak penubuhannya pada 1922.

Sim berkata daripada jumlah itu, sebanyak RM226 juta diperuntukkan menerusi Tabung Modal Pusingan SKM (TMP–SKM), dengan 18 koperasi telah diluluskan pembiayaan hampir RM53 juta bagi meningkatkan kapasiti serta mengembangkan aktiviti perniagaan masing-masing.

Beliau berkata peruntukan itu akan disalurkan menerusi 28 program termasuk tujuh program baharu yang memberikan tumpuan kepada pendigitalan, penggunaan teknologi, pematuhan elemen kelestarian serta teknologi hijau bagi meningkatkan daya saing koperasi.

Beliau berkata KUSKOP akan terus memperkukuh gerakan koperasi sebagai antara instrumen utama pembangunan ekonomi rakyat dengan sasaran meningkatkan perolehan sektor koperasi melepasi RM100 bilion menjelang 2030, selaras dengan aspirasi Hebatkan Perniagaan Malaysia.– BERNAMA