KUCHING: Gabungan Parti Sarawak (GPS) memperkenalkan 11 muka baharu daripada keseluruhan 82 calon yang akan mempertahankan dominasi gabungan tersebut mendepani Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13.
Pengerusinya, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata ia mewakili 14 peratus daripada jumlah keseluruhan calon yang akan mewakili gabungan tersebut.
Menurut Abang Johari semasa pengumuman calon di Ibu Pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di Kuching, jumlah calon wanita juga meningkat kepada lima orang berbanding empat pada PRN12.
Beliau pada masa sama turut mengesahkan tiada calon langsung GPS (direct candidate) kerana ketiga-tiga calon kerusi tumpuan bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Lintang, Engkilili dan Bawang Assan merupakan ahli Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) yang juga merupakan parti komponen GPS.
“Pertamanya ialah kita telah meningkatkan jumlah wanita. Kalau dulu ada empat, sekarang lima, tambah satu. Kita juga menambah kumpulan pemuda.
“Calon kita di (DUN) Kabong adalah calon pemuda. Jadi maknanya kita ada menambah dan melihat keupayaan orang muda dalam pilihan raya yang akan datang. Semua komponen parti pun ada mengekalkan orang muda juga,” katanya.
Beliau pada masa sama menjelaskan, faktor kesihatan turut menjadi antara sebab terdapat penyandang yang tidak dikekalkan sebagai calon pada pilihan raya kali ini.
Sehubungan itu kesemua calon yang diumumkan hari ini sudah menjalani pemeriksaan kesihatan dan memenuhi kriteria untuk menjadi wakil rakyat GPS.
“Ada juga sebab kesihatan. Ada yang mahu mengundurkan diri kerana sudah lama (berkhidmat).
“Yang baharu diumumkan hari ini, mereka baru menjalani saringan kesihatan kerana mereka hanya mengetahui bahawa mereka menjadi calon hari ini,” katanya lagi.
Sementara itu, antara 11 muka baharu yang diketengahkan GPS ialah Wung Duk Ing bagi kerusi DUN Padungan, Dr Dayang Nurfizawati Abang Abdul Karim (Muara Tuang), Yussuf Chik (Simunjan), Awg Nashfarini Awg Sarbini (Beting Maro) dan Leonard Libau Anol (Simanggang).
Turut disenaraikan ialah Nor-E-Fadzwie Salleh (Kabong), Alexander Donald (Ngemah), Kevin Lau Kor Jie (Bawang Assan), Cerisologo Sabut (Pelagus), Nurfatin Syafawani Tahamat (Bekenu) dan Jack Liam (Batu Danau). -Astro Awani
