Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Malaysia bersedia membantu negara ASEAN yang dilanda bencana, selain terus komited menyokong usaha menggerakkan bantuan kemanusiaan secara bersama ke luar rantau. 

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata misi sedemikian boleh digerakkan berdasarkan permintaan negara terjejas, mengikut keperluan di lapangan dan kemampuan ASEAN, dengan menghormati kedaulatan serta prinsip kemanusiaan.

Beliau menyatakan komitmen Malaysia itu ketika menyampaikan Kenyataan Negara ketika menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN mengenai Pengurusan Bencana (AMMDM) Ke-14 di Jakarta, Indonesia, hari ini.

Ahmad Zahid berkata, bagi memastikan komitmen itu dapat diterjemahkan kepada tindakan, latihan bersama akan dimanfaatkan untuk menguji cara negara anggota berkongsi maklumat, memohon bantuan dan menyelaras penyalurannya kepada komuniti yang terjejas.

“Dalam mesyuarat berkenaan, saya turut menegaskan bahawa setiap amaran awal mesti disusuli tindakan yang telah dipersetujui sebelum bencana melanda

“Pada saat amaran dikeluarkan, agensi yang terbabit mesti sudah tahu bila pemindahan perlu dimulakan, siapa yang menyediakan pengangkutan dan membuka pusat pemindahan, serta bagaimana dana kecemasan dapat digerakkan segera.

“Di Malaysia, langkah ini sedang digerakkan melalui pembangunan Strategi Pengurangan Risiko Bencana Negeri di bawah Dasar

Pengurangan Risiko Bencana Negara 2030,” katanya menerusi kenyataan dikeluarkan pejabatnya di Kuala Lumpur.

Ahmad Zahid berkata, Kerajaan Persekutuan juga sedang bekerjasama dengan kerajaan negeri untuk memastikan risiko setempat diambil kira dalam menentukan lokasi pembangunan, reka bentuk infrastruktur dan melindungi perkhidmatan asas. 

Katanya, komuniti setempat perlu dibabitkan dalam menguji pelan pemindahan dan mengenal pasti penduduk yang memerlukan bantuan untuk sampai ke tempat selamat.

“Dalam perbincangan mengenai AMMDM Plus, Malaysia turut menyokong cadangan untuk memperkukuh kerjasama di peringkat menteri dengan Australia, Kanada, Kesatuan Eropah, India dan New Zealand.

“Malaysia mahu setiap mesyuarat AMMDM Plus menghasilkan komitmen yang jelas untuk dilaksanakan bersama, daripada latihan teknikal dan perkongsian kepakaran hingga pemindahan teknologi dan sokongan kepada pelaksanaan Program Kerja AADMER 2026–2030.

“Selain itu, Malaysia turut menyampaikan hasrat meneruskan penyaluran sumbangan USD100,000 kepada Pusat Penyelarasan Bantuan Kemanusiaan ASEAN bagi Pengurusan Bencana (Pusat AHA) untuk menyokong peranannya dalam menyelaras bantuan bencana di rantau ini,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, Malaysia juga akan terus bekerjasama dengan negara anggota ASEAN; Sekretariat ASEAN dan Pusat AHA bagi memperkukuhkqn lagi kesiapsiagaan serta mempercepat penyaluran bantuan.

Katanya, komitmen yang dipersetujui di peringkat serantau itu mesti diterjemahkan kepada tindakan bersama, dengan berkongsi maklumat risiko lebih awal, menyelaraskan persediaan antara negara dan menggerakkan bantuan segera apabila diperlukan. -BH Online