KUALA LUMPUR: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya menggesa lebih banyak pembabitan sektor swasta dalam memperkenalkan produk pelancongan baharu kreatif dan mampu meningkatkan pengalaman pelancong luar ke negara ini.
Menterinya, Datuk Seri Tiong King Sing, berkata sejak beberapa tahun kebelakangan ini, semakin banyak syarikat swasta tampil dengan inisiatif untuk membangunkan produk nilai tambah yang bukan saja mempelbagaikan tawaran pelancongan, malah memberi pengalaman lebih menarik kepada pelancong.
Katanya, usaha sedemikian wajar diberi sokongan kerana mampu memperkukuh daya saing industri pelancongan negara secara keseluruhan.
“Usaha dua anak tempatan menubuhkan Pusat Pengalaman Durian Bersepadu Kuala Lumpur (KLDEX) membuktikan produk tempatan berasaskan warisan makanan dan industri kreatif mampu diketengahkan sebagai sebahagian daripada produk pelancongan.
“Ini sekali gus membuka ruang kerjasama lebih luas antara sektor pelancongan, pertanian dan industri kreatif.
“Kita bersyukur kerana negara ini dikurniakan pelbagai sumber alam semula jadi, kepelbagaian budaya, warisan makanan yang unik serta rakyat yang mesra.
“Gabungan semua elemen dan ikon pelancongan yang dimiliki negara menjadikan ia antara tarikan yang unik dan istimewa kepada pelancong dari seluruh dunia,” katanya ketika merasmikan pusat berkenaan di sini, hari ini.
Pada majlis itu juga, KLDEX yang dibangunkan oleh dua rakan perniagaan, Ang Kean Wee dan Edison Ang, turut menerima pengiktirafan sebagai Pusat Pengalaman Durian Bersepadu Pertama dan Terbesar di Asia dan Malaysia oleh ASEAN Records dan Asia Records, hari ini.
KLDEX turut menampilkan zon pengalaman dusun durian untuk memahami lebih dekat persekitaran tumbesaran pokok durian, ekosistem serta kaedah penanaman.
Sementara itu, Kean Wee berkata, satu institut hab penyelidikan ditubuhkan iaitu MC Hab Inovasi Durian bagi menyediakan satu garis panduan dan piawaian untuk mengklasifikasikan pokok durian mengikut umur serta kualiti dusun.
Katanya, ini sekali gus menangani kekurangan standard yang seragam dalam industri durian negara.
“Malaysia masih belum mempunyai definisi atau piawaian rasmi mengenai kategori pokok durian mengikut umur, menyebabkan istilah seperti “pokok tua” sering digunakan tanpa sandaran data saintifik.
“Jadi kita juga mahu menjalankan penyelidikan bagi mendapatkan bukti saintifik termasuk tanggapan bahawa durian daripada pokok tua atau yang ditanam di tanah tinggi mempunyai rasa yang lebih enak,” katanya.
Pusat penyelidikan dikenali sebagai MC Hab Inovasi Durian di Shah Alam akan mengumpul data lapangan secara sistematik bagi membentuk pangkalan data industri yang lebih komprehensif. -BH Online

