Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Mahkamah Tinggi menolak permohonan Badan Peguam untuk mendapatkan kebenaran bagi memulakan prosiding semakan kehakiman, mencabar keputusan Peguam Negara memberhenti prosiding kes rasuah Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, membabitkan dana Yayasan Akalbudi.

Melalui permohonan pada 2 Disember tahun lalu, Badan Peguam yang menamakan Peguam Negara dan Ahmad Zahid selaku responden, memohon perintah supaya keputusan Peguam Negara yang memohon supaya Timbalan Perdana Menteri itu dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) pada 4 September tahun lalu, dibatalkan.

Dalam prosiding pagi ini, Hakim Datuk Amarjeet Singh membuat keputusan itu selepas mendapati permohonan Badan Peguam bukan sesuatu yang boleh diputuskan oleh mahkamah dan badan terbabit tidak memenuhi peruntukan bagi dibenarkan memulakan prosiding semakan kehakiman.

Amarjeet turut menolak permohonan Badan Peguam untuk merujuk tiga soalan Perlembagaan berhubung perkara berkaitan kepada Mahkamah Persekutuan untuk diputuskan mahkamah tertinggi itu.

null

Pada 4 September tahun lalu, Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah, melepas tanpa membebaskan Ahmad Zahid daripada 47 tuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi.

Sequerah membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Mohd Dusuki Mokhtar, yang memaklumkan Jabatan Peguam Negara ingin memberhenti semua prosiding terhadap Ahmad Zahid.

Sementara itu, dalam penghakimannya Amarjeet berkata, mahkamah menolak permohonan kebenaran berkenaan keranaBadan Peguam tidak memenuhi keperluan di bawah Seksyen 96 Akta Mahkamah Kehakiman.

Hakim itu berkata, keputusan Peguam Negara dalam perkara terbabit juga tidak boleh dibawa untuk didengar dan diputuskan melalui prosiding semakan kehakiman.

null

Katanya, Peguam Negara tidak mempunyai kewajipan membekalkan maklumat, dokumentasi, sebab, asas dan butiran yang ia bergantung untuk mencapai keputusan bagi memohon DNAA terhadap Ahmad Zahid, seperti dituntut pemohon.

Amarjeet turut mengarahkan Badan Peguam membayar RM10,000 sebagai kos kepada Peguam Negara.

Dalam prosiding hari ini, peguam Steven Thiru bertindak bagi pihak Badan Peguam dan Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan mewakili Peguam Negara, manakala peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik pula mewakili Ahmad Zahid.

Dalam permohonannya, Badan Peguam turut memohon perisytiharan keputusan Peguam Negara itu adalah batal dan tidak sah serta dibuat melebihi bidang kuasa dan kuasa yang diberikan kepada responden pertama mengikut Artikel 145(3) Perlembagaan Persekutuan dan Seksyen 254(1) Kanun Tatacara Jenayah.

Turut dimohon, satu perisytiharan keputusan itu tidak munasabah, tercemar dengan tidak rasional.

Berikutan itu, Badan Peguam selaku pemohon tunggal, memohon perintah mandamus daripada mahkamah untuk mengarahkan Peguam Negara bertindak mengikut undang-undang, dan jika menganggap sesuai dan wajar, untuk bertindak mengikut Seksyen 254A Kanun Tatacara Jenayah dengan mendakwa semula Ahmad Zahid.

Sebagai alternatif, Badan Peguam memohon perintah untuk mengarahkan Peguam Negara membekalkannya dengan maklumat, dokumentasi, sebab, asas dan butir-butir yang ia bergantung untuk mencapai keputusan bagi memohon DNAA terhadap Ahmad Zahid.

Badan Peguam memberikan alasan dalam permohonannya, Peguam Negara bertindak secara ultra vires (bertentangan) bidang kuasa ketika memohon DNAA dan keputusan itu juga tidak munasabah dan tidak rasional.-BH Online