Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kekayaan Sarawak sehingga mencapai pendapatan RM13 bilion ketika ini adalah hasil kerja kuat kerajaan negeri, bukannya datang bergolek, kata Premier, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Openg.

“Negeri lain mana ada pendapatan RM13 bilion, kalau campur semuanya pun, tidak dapat kalahkan Sarawak. Ini sebab kita kerja kuat, rezeki tidak ada datang bergolek, rezeki hanya datang kalau kita kerja kuat,” katanya.null

Berucap pada Majlis Ngiling Bidai Sambutan Gawai Dayak Daerah Gedong di RTC Munggu Lalang di Gedong, hari ini, beliau berkata, banyak pihak cemburu dengan kejayaan Sarawak sehingga ada yang memperlekehkan negeri ini.

Abang Johari menegaskan, beliau tidak ambil peduli kutukan pihak luar itu, sebaliknya akan terus fokus untuk membangunkan Sarawak.

null

“Apabila kita membangun, memang ada yang dengki, tetapi bagi saya tidak mengapa. Orang perlekeh saya, biarlah. Asal saya ikhlas dan dapat pahala kerana niat kita baik,” katanya.

Katanya, niat baik dan keikhlasan dalam membangunkan Sarawak itu membolehkannya dikurniakan kesihatan yang baik.

“Bagi saya seorang anak Islam, saya percaya tuhan akan bantu saya. Setidak-tidaknya saya sihat, umur sudah 74 tahun, tapi boleh tahan lagi, jalan pun boleh tahan, tidak pakai tongkat. Ini tuhan beri kepada saya. Saya tidak kaya, tapi tuhan beri saya kesihatan, itu yang penting,” katanya.

Baru-baru ini, lapan laporan polis telah dibuat bagi menggesa pihak berkuasa menyiasat artikel yang memperlekehkan Abang Johari, meminta polis serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memastikan semua artikel itu dipadamkan daripada tatapan awam.

Laporan itu juga bagi menghalang individu tidak bertanggungjawab dan berniat jahat daripada mengganggu ketenteraman dan keharmonian Sarawak dengan membuat tuduhan tidak berasas.-BH Online