Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan lawatan kerja ke Jepun bermula esok hingga Jumaat ini bagi menghadiri Persidangan Antarabangsa ke-29 mengenai Masa Depan Asia (Persidangan Nikkei). 

Perdana Menteri akan diiringi Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri Sumber Manusia, Steven Sim.

Wisma Putra dalam kenyataan berkata, lawatan kerja itu adalah penyertaan pertama Perdana Menteri ke Persidangan Nikkei yang menjadi perhimpunan tahunan di mana pemimpin politik, ekonomi dan akademik dari rantau Asia Pasifik menyuarakan pendapat secara bebas serta terbuka mengenai isu serantau selain membincangkan peranan Asia di pentas dunia. 

“Beliau akan menyampaikan ucaptama dengan tema ‘Asian Leadership in an Uncertain World’,” kata kenyataan itu, hari ini. 

Dalam lawatan itu, Perdana Menteri turut dijadual mengadakan mesyuarat dua hala dengan rakan sejawatnya, Fumio Kishida. 

Pertemuan itu akan memberi peluang untuk kedua-dua pihak menilai dan membincang inisiatif memperkukuh hubungan yang sudah lama terjalin antara Malaysia-Jepun serta kerjasama dalam pelbagai bidang, susulan penaiktarafan hubungan dua hala kepada Perkongsian Strategik Komprehensif pada Disember 2023.

“Antara perkara dijangka dibincangkan adalah teknologi tinggi, peralihan tenaga dan alam sekitar, pertahanan dan keselamatan serta kerjasama dalam pendidikan tinggi.

“Mereka juga akan bertukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama,” katanya.

Perdana Menteri juga dijadual memberikan ucapan di Universiti Keio.

Mengiktiraf peranan Jepun sebagai antara sumber utama pelaburan langsung asing dan potensi pertumbuhan dalam bidang ekonomi, Perdana Menteri akan mengadakan sesi libat urus dengan beberapa peneraju industri Jepun.

“Sehingga 2023, sebanyak 2,810 projek oleh syarikat Jepun dilaksanakan di Malaysia, dengan nilai pelaburan berjumlah RM102.11 bilion (AS$29.67 bilion), menyediakan 344,120 peluang pekerjaan. 

“Jepun juga adalah rakan dagang keempat terbesar Malaysia untuk sembilan tahun berturut-turut. Pada 2023, jumlah dagangan antara Malaysia dan Jepun bernilai RM156.64 bilion (AS$34.39 bilion),” katanya.-BH Online