Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: ​Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim, menegaskan kerajaan negeri tidak mahu mengambil alih tugas institusi adat dalam menentukan pertikaian mengenai adat dan institusi raja.

Beliau berkata, perkara berkenaan hendaklah diselesaikan menurut Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri, Adat Perpatih serta melalui institusi yang mempunyai bidang kuasa, termasuk Undang Yang Empat dan Dewan Keadilan Undang mengikut fungsi masing-masing.

Katanya, kerajaan juga meminta semua pihak yang terbabit segera mencari jalan penyelesaian secara berhemah, tertib dan bermaruah, demi mengembalikan keharmonian Negeri Sembilan. null

“Apa jua keputusan muktamad yang dibuat secara sah oleh institusi yang mempunyai bidang kuasa menurut adat dan undang-undang tubuh akan dihormati oleh kerajaan negeri.

“Sebagai kerajaan yang diberikan mandat rakyat dan memegang amanah kuasa eksekutif berperlembagaan, kami akan terus mentadbir negeri ini, menjaga kepentingan rakyat dan mempertahan keluhuran undang-undang. 

“Kerajaan negeri tidak mencari pertelingkahan dengan institusi raja, kerajaan juga tidak mahu adat dijadikan gelanggang politik,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Pada masa sama, Ismail berkata, kemelut adat dan institusi tidak wajar dijadikan alasan untuk mengganggu, mengintimidasi atau menyekat kerajaan negeri yang sah daripada melaksanakan amanah yang diberikan oleh rakyat. 

“Tanggungjawab kami ialah memastikan pentadbiran kerajaan terus berjalan, rakyat terus diberikan perkhidmatan dan kemuliaan institusi adat serta Raja Negeri Sembilan terus dipelihara.

“Dalam menghadapi saat yang mencabar ini, kita perlu kembali kepada falsafah Negeri Sembilan sendiri, ‘Biar mati anak, jangan mati adat’.

“Adat hendaklah dipertahan, perlembagaan hendaklah dijunjung, mandat rakyat hendaklah dihormati dan institusi hendaklah dipelihara,” katanya.

Ismail turut turut memberi peringatan kepada agensi atau pihak berkuasa di peringkat Persekutuan supaya tidak melakukan sebarang tindakan yang boleh ditafsirkan sebagai campur tangan atau mengambil alih bidang kuasa mutlak Negeri Sembilan.

​”Prinsip federalisme yang sihat menuntut supaya sempadan kuasa masing-masing dihormati. 

“Kerjasama Persekutuan dan negeri mestilah berasaskan hormat-menghormati, bukannya tekanan atau percubaan mengatasi bidang kuasa,” katanya.

​Menyentuh isu Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) dan Penasihat Undang-Undang Negeri, beliau berkata, kerajaan negeri menegaskan penjawat awam wajib kekal profesional dan berkecuali tanpa berpihak dalam mana-mana pertikaian politik atau institusi.

Katanya, sebarang persoalan mengenai kedudukan mereka hendaklah diselesaikan menerusi proses undang-undang dan pentadbiran.-BH Online