KUALA LUMPUR: UDA Holdings Bhd (UDA) mengenal pasti antara empat hingga lima aset di seluruh negara untuk diperbaharui menerusi strategi membuka nilai aset bagi memastikan hartanah lama miliknya kekal produktif dan memberi manfaat kepada ekonomi setempat.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim, berkata pendekatan itu penting bagi mengelakkan aset berkenaan terus terbiar, sebaliknya dimanfaatkan sebagai ruang komersial yang mampu membuka peluang kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta usahawan tempatan.
Katanya, antara contoh pendekatan berkenaan ialah pembangunan semula Chinatown 1974, yang sebelum ini merupakan bangunan berusia lebih 40 tahun dan tidak dihuni selama kira-kira lima tahun susulan pandemik COVID-19.
“Kalau agensi kita buat usaha, ada strategi yang betul, maka kita mampu menyampaikan produk dan perkhidmatan bertaraf premium kepada pemegang taruh kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika lawatan ke Chinatown 1974 di sini, hari ini.
Sim berkata, pengaktifan semula aset lama bukan sahaja mengoptimumkan penggunaan hartanah milik UDA, malah berpotensi meningkatkan tarikan pelancongan, nilai aset di kawasan sekitar serta mewujudkan peluang pekerjaan dan keusahawanan.
Katanya, pendekatan itu selari dengan usaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) untuk meningkatkan kualiti produk serta penyampaian perkhidmatan menerusi kementerian dan agensi di bawahnya.
“UDA mempunyai aset yang berusia lebih 50 tahun. Jadi, kita perlu meneroka nilai aset sedia ada dengan lebih meluas supaya ia tidak menjadi aset yang tidak lagi produktif sedangkan kos penyelenggaraan masih perlu ditanggung,” katanya.
Steven berkata strategi sama turut diterapkan menerusi Heritage Valley yang dilancarkan kira-kira dua hingga tiga minggu lalu sebagai ruang komersial premium dengan kadar sewa lebih mampu milik.
Katanya, penyediaan ruang perniagaan sedemikian penting bagi membolehkan PMKS dan usahawan kecil menembusi pasaran di bandar besar serta bandar sekunder.
Beliau berkata, usaha memperbaharui ruang niaga supaya lebih premium, moden dan menepati cita rasa pasaran akan terus diperluaskan oleh UDA.
Pada masa sama, katanya, kadar sewa perlu kekal bertanggungjawab supaya ruang perniagaan di lokasi strategik tidak hanya mampu diakses syarikat besar, sebaliknya turut terbuka kepada PMKS.
Pendekatan itu akan diteruskan bukan sahaja di lokasi yang sudah dikenal pasti sebelum ini, malah diperluaskan ke bandar utama lain di seluruh negara.
Sim berkata langkah berkenaan dijangka membuka lebih banyak peluang kepada sektor PMKS, khususnya peniaga dan penjaja kecil, untuk mengembangkan perniagaan mereka di lokasi strategik.
Pada masa sama, strategi membuka nilai aset lama membolehkan UDA memanfaatkan hartanah sedia ada tanpa membiarkannya menjadi liabiliti akibat kos penyelenggaraan yang berterusan. -BH Online

