Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Ibu bapa disaran menjadikan semakan tanda keselamatan ‘Malaysian Conformity’ (MC) sebagai kebiasaan setiap kali membeli mainan untuk anak bagi memastikan produk terbabit memenuhi keperluan keselamatan ditetapkan.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Dr Fuziah Salleh, berkata ibu bapa tidak seharusnya hanya melihat bentuk, warna dan harga mainan, sebaliknya perlu memastikan produk mempunyai tanda MC pada mainan atau pembungkusannya.

“Apabila anak-anak tunjuk mainan yang mereka suka, tentu kitapun teringin membelikannya. Lebih-lebih lagi mainan squishy yang pelbagai bentuk dan warna, orang dewasa pun boleh tertarik melihatnya.null

“Dalam kita memilih itu, saya nak titipkan satu pesanan mudah. Cuba cari tanda atau logo MC pada mainan atau pembungkusannya terlebih dahulu. Jadikan ini kebiasaan setiap kali membeli mainan untuk anak-anak,” katanya dalam satu hantaran di media sosial, hari ini.

Fuziah berkata, tanda MC itu menunjukkan pematuhan terhadap standard keselamatan mainan yang ditetapkan di Malaysia.

Beliau berkata keselamatan mainan kanak-kanak dikawal selia di bawah Akta Perlindungan Pengguna 1999 serta peraturan berkaitan.

“Bukan sekadar melihat rupa dan harga, tanda ini juga penting untuk membantu kita memilih mainan.

“Pengilang, pengimport serta penjual mempunyai tanggungjawab memastikan mainan yang dipasarkan mematuhi keperluan keselamatan, termasuk penandaan MC,” katanya.

Beliau turut mengingatkan ibu bapa menyemak label umur, arahan penggunaan dan amaran keselamatan bagi memastikan mainan yang dibeli sesuai dengan usia anak.

Katanya, bagi pembelian secara dalam talian, ibu bapa boleh meminta penjual menunjukkan label atau pembungkusan produk sekiranya maklumat keselamatan berkenaan tidak jelas.

“Anak-anak mungkin memilih kerana comel, tetapi kita bantu memilih dengan lebih teliti. Jom cari tanda MC dan semak label sebelum membeli, supaya keseronokan mereka bermain sentiasa disertai perhatian kita terhadap keselamatan,” katanya. -BH Online