Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berhasrat untuk membincangkan semula nisbah seorang anggota polis kepada 6,000 masyarakat yang sangat rendah berbanding piawaian sepatutnya.

Ujarnya, langkah itu merupakan salah satu usaha dilakukan oleh kerajaan negeri untuk mengurangkan kadar indeks jenayah yang menunjukkan trend peningkatan pada tahun ini.

Jelasnya, statistik indeks jenayah dilaporkan meningkat sebanyak 22.2 peratus iaitu merangkumi 507 kes pada Januari sehingga April tahun ini, berbanding 415 kes bagi tempoh sama tahun lalu.

“Berdasarkan standard piawaian antarabangsa, nisbah seorang polis adalah untuk 600 masyarakat, akan tetapi disebabkan jumlah masyarakat yang melebihi jumlah anggota kita perlu mengaplikasikan nisbah seorang polis kepada 6,000 masyarakat.

“Berkait itu, saya bercadang untuk membincangkan semula perkara ini bersama pihak atasan sebagai usaha mengurangkan kadar jenayah,” katanya ketika berucap dalam Majlis Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Kerajaan Negeri di sebuah hotel di Ayer Keroh di sini, hari ini.

Tambah Ab. Rauf, Melaka kini memiliki 36 balai polis dan tiga ibu pejabat polis daerah (IPD).

Mengulas lanjut beliau turut menyeru agar agensi keselamatan di negeri ini untuk sentiasa berada dalam keadaan bersiap siaga dalam melaksanakan tugasan harian selepas beberapa kejadian jenayah serius yang menggemparkan negara.

“Baru-baru ini, platform media sosial hangat diperkatakan dengan insiden yang melibatkan kecederaan kepada pemain bola sepak negara dan serangan kepada anggota polis di Ulu Tiram, Johor dan di Pulau Pinang.

“Justeru saya menyeru pasukan keselamatan seperti polis, tentera, penguat kuasa, tentera, bomba dan sebagainya di negeri in sentiasa bersiap-siaga sepanjang menjalankan tugasan harian,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE