Sorting by

×

Malaysia dipilih semula sebagai Ahli Majlis Eksekutif Pertubuhan Larangan Senjata Kimia (OPCW) bagi penggal 2024-2026 pada Sesi Ke-28 Persidangan Negara-Negara Pihak Konvensyen Senjata Kimia (CSP-28) di The Hague, Belanda, kata Kementerian Luar (Wisma Putra).

Penggal berkenaan akan bermula dari 12 Mei 2024 hingga 11 Mei 2026, katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Sabtu.

“Majlis Eksekutif itu yang terdiri daripada 41 negara anggota OPCW, berperanan penting bagi mengawal selia operasi Sekretariat Teknikal (Technical Secretariat) OPCW serta memastikan pelaksanaan dan pematuhan yang berkesan terhadap Konvensyen Senjata Kimia,” kata Wisma Putra.null

Menurut kementerian itu, kejayaan pemilihan semula Malaysia ini mencerminkan komitmen teguh dan sumbangan aktif negara bagi membantu OPCW memenuhi mandatnya dalam melaksanakan larangan senjata kimia serta memelihara keamanan dan keselamatan global.

“Malaysia merakamkan penghargaan kepada negara-negara anggota OPCW di atas kepercayaan dan keyakinan yang diberikan kepada Malaysia,” katanya.

Wisma Putra berkata, Malaysia akan terus menyumbang pengalaman dan kepakarannya selaku Ahli Majlis Eksekutif OPCW selama lima penggal, termasuk penggal terkini bagi tahun 2022–2024.

Malaysia melalui Pihak Berkuasa Kebangsaan Konvensyen Senjata Kimia, bersedia bekerjasama dengan negara-negara anggota dan Sekretariat Teknikal untuk memacu agenda dan matlamat pertubuhan itu untuk kemaslahatan manusia sejagat, katanya. – BERNAMA