Sorting by

×

Kejayaan Pakatan Harapan (PH) mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) hari ini menjadi bukti semangat kesepakatan Kerajaan Perpaduan biarpun dilempar dengan pelbagai tohmahan.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata tohmahan khususnya kepada UMNO dengan melabel parti itu sebagai UMDAP (UMNO-DAP) tidak sedikit pun menjejaskan semangat jentera pilihan raya parti berkenaan untuk membantu memenangkan calon PH daripada DAP.

“Biapun kita dibaling dengan isu UMDAP dan agak sukar untuk kita melakukan penjelasan, hakikatnya jalinan BN (Barisan Nasional) dan PH menjadi tunjang kepada kerajaan bersama parti lain di Sabah dan Sarawak.

“Tunjang ini mesti diperkukuhkan, saya sudah nyatakan bahawa kepemimpinan DAP banyak membantu calon BN dalam beberapa pilihan raya kecil. Ini pertama kali calon DAP bertanding PRK dan tidak salah jika kita membalas budi yang ditabur oleh mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Sambutan Ulang Tahun UMNO ke-78 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini, malam ini.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, kejayaan itu juga bukti bahawa UMNO memiliki daya tahan yang tinggi untuk terus memperkukuhkan Kerajaan Perpaduan.

Terdahulu dalam ucapan pada sambutan ulang tahun UMNO, beliau merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada semua jentera BN kerana berjaya mematahkan serangan persepsi pihak lawan sepanjang tempoh berkempen PRK berkenaan.

“UMNO disimbah UMDAP, tahniah kepada jentera UMNO dan BN di Kuala Kubu Bharu kerana berjaya mengatasi persepsi ini. Saya ucapkan tahniah kepada semua jentera parti, jentera Wanita, Pemuda, Puteri,” katanya.

Sementara itu, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin juga mengucapkan tahniah kepada calon PH daripada DAP, Pang Sock Tao yang mewakili Kerajaan Perpaduan kerana dipilih menjadi wakil rakyat DUN Kuala Kubu Bharu.

“Terima kasih saya ucapkan kepada jentera UMNO dari seluruh negara, khususnya UMNO Bahagian Hulu Selangor, yang telah bertungkus lumus membantu memenangkan calon daripada Kerajaan Perpaduan,” katanya dalam hantaran di media sosial.

Sock Tao memperoleh 14,000 undi untuk meraih 3,869 undi majoriti bagi menewaskan calon Perikatan Nasional (PN) daripada BERSATU, Khairul Azhari Saut yang mendapat 10,131 undi. 

Calon Bebas, Nyau Ke Xin pula memperoleh 188 undi dan wakil Parti Rakyat Malaysia (PRM), Hafizah Zainudin yang sekadar meraih 152 undi. Jumlah undi yang ditolak adalah sebanyak 263. 

Berdasarkan rekod SPR, DUN Kuala Kubu Bharu mengandungi 40,226 pengundi dengan 39,362 pengundi biasa, 625 pengundi anggota polis dan pasangan, 238 pengundi tentera dan pasangan serta seorang pengundi luar negara.

Kira-kira 46 peratus pengundi terdiri Melayu, Cina sekitar 30 peratus, kira-kira 6,000 atau 18 peratus adalah pengundi India, manakala bakinya masyarakat Orang Asli. PRK DUN Kuala Kubu Bharu diadakan susulan kematian penyandang kerusi daripada DAP, Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lalu akibat kanser.

Daripada 39,362 pengundi biasa, mereka yang keluar menunaikan tanggungjawab memilih wakil rakyat baharu pada PRK hari ini dilaporkan seramai 24,145 orang.-BH Online