Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengingatkan kepemimpinan PKR supaya tidak lupa kepada dasar perjuangan parti itu yang diwujudkan bagi melakar perubahan, selepas memperoleh kuasa dalam Kerajaan Perpaduan kini.

Anwar yang juga Presiden PKR, berkata pihaknya tidak mahu pemimpin parti ‘terpukau’ dengan kuasa dan amanah yang diperoleh kini.

Beliau berkata, PKR juga tidak akan berganjak daripada prinsip parti bagi mempertahankan hak setiap rakyat di negara ini, walaupun diserang pihak tertentu yang sering memainkan sentimen isu perkauman yang sempit sebelum ini. 

“Seperti mana selalu saya sebut, kuasa mampu memukau…kuasa itu satu yang bergemerlapan, maka ingat mengenai asas perjuangan. Jangan guna kuasa untuk kumpul harta.

null

“Jangan guna kuasa untuk hilangkan idealisme bahawa kita pegang amanah untuk melakukan perubahan kerana Malaysia cukup matang untuk sebuah demokrasi yang utuh,” katanya ketika berucap pada Malam Sambutan Keadilan ke-25, di Sentul Depot, malam ini.

Hadir sama pada acara sambutan itu ialah Menteri Ekonomi yang juga Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli; Timbalan Perdana Menteri yang juga Naib Presiden Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Seri Fadillah Yusof; Menteri Pengangkutan yang juga Setiausaha DAP, Anthony Loke dan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong. 

Pada masa sama, Anwar berkata, walaupun diserang dan hampir tewas di beberapa kawasan sebelum ini, PKR tidak akan berganjak dari prinsip asal parti yang mahu mempertahankan hak setiap rakyat di negara ini. 

Beliau berkata, pihaknya memberi jaminan bahawa Islam, Melayu dan Bumiputera tidak akan terhakis walaupun kerajaan mempertahankan hak setiap rakyat yang lain.

“Kita lihat kempen di Kuala Kubu Bharu, isu ini terus dipermainkan. Mana boleh di Malaysia ini majoriti Islam, perwakilan di Parlimen juga majoriti Islam tetapi kita tidak menafikan hak orang Cina, India, Kadazan atau Dusun untuk tetap diwakili. 

“PKR tetap akan pertahankan Perlembagaan untuk menjamin negara ini aman dan setiap suku kaum mesti ada perwakilan yang adil. 

“Melayu dan Bumiputera tidak miskin kalau kita adil, Melayu dan Bumiputera tidak ketinggalan kalau kita berikan hak dan perwakilan itu. Walau diserang bertubi-tubi kerana sentimen mainan agama yang sempit, kita tidak akan berganjak,” katanya. 

Dalam perkembangan sama, Anwar berkata, negara akan tetap mempertahankan dasar yang bebas dan merdeka.

Beliau berkata, dalam aspek hubungan antarabangsa, negara akan memperkukuhkan kerjasama dengan Barat termasuk Amerika Syarikat (AS) dan Eropah. 

Katanya, namun pada masa sama, hubungan dengan China, Jepun dan Korea juga perlu harus dipertingkatkan.-BH Online