Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA: Pelaksanaan mandat biodiesel B15 bermula 1 Jun ini tidak akan menjejaskan eksport bekalan minyak sawit negara kerana Malaysia masih mempunyai lebihan bekalan untuk kegunaan domestik.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, berkata negara ketika ini menghasilkan kira-kira 20 juta tan metrik minyak sawit setahun dengan 16 juta tan metrik daripadanya dieksport ke luar negara.

Katanya, baki empat juta tan metrik tan untuk pasaran domestik dan daripada jumlah itu, hanya sekitar 0.8 juta tan metrik diperlukan bagi pelaksanaan biodiesel B15.

“Daripada empat juta tan metrik itu, untuk penggunaan B15 hanya 0.8 juta tan metrik, bermaksud kita tidak akan ganggu jumlah eksport ke luar negara.

“Kita memang sudah buat analisis secara terperinci mengenai perkara ini dan selepas berjumpa dengan pemain industri, mereka merasakan B15 adalah angka yang tepat tanpa perlu menaik taraf fasiliti sedia ada,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Taklimat Media Pelaksanaan Biodiesel B15 di sini, hari ini.

Pada 14 April lalu, kerajaan bersetuju meningkatkan kadar campuran biodiesel daripada B10 kepada B15 bermula dengan B12 bagi mengekalkan bekalan diesel negara susulan krisis yang berlaku di Asia Barat.

Langkah segera itu bagi mengelak kebergantungan melampau kepada bahan api fosil import dan pasaran luar dan melaksanakan penstrukturan semula ekonomi melalui peralihan dipercepatkan kepada tenaga boleh baharu.

Mengulas lanjut, Noraini berkata, Malaysia ketika ini menggunakan biodiesel B10 dan pelaksanaan B15 dibuat berdasarkan mandat kerajaan menerusi keputusan Kabinet serta Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN).

Ditanya jika ada keperluan untuk meningkatkan daripada B15 kepada B20, beliau berkata kerajaan sebelum ini sudah meluluskan peruntukan RM40 juta bagi fasa pertama menaik taraf kemudahan ke arah pelaksanaan B20 di Sarawak.

“Fasa kedua kita sedang membuat permohonan kepada Kementerian Kewangan supaya ada peningkatan peruntukan diberikan untuk menaik taraf fasiliti.

“Kita fokuskan terutamanya di Klang Valley Distribution Terminal (KVDT) sebagai antara tempat yang kita hendak naik taraf sekiranya peruntukan itu diluluskan,” katanya.

Biodiesel B15 adalah bahan api diesel daripada campuran 15 peratus biodiesel berasaskan minyak sawit dan 85 peratus diesel petroleum, dilaksanakan untuk mengurangkan kebergantungan import bahan api dan menstabilkan bekalan tenaga negara.

Program Biodiesel Negara diperkenalkan sejak 2011 menerusi pelaksanaan B5 bagi sektor pengangkutan terus berkembang dengan pengenalan B7 pada 2014, sebelum mandat B10 dan B20 diperluaskan secara berperingkat antara 2019 hingga 2020.

Di bawah pelaksanaan itu, biodiesel B10 digunakan bagi sektor pengangkutan dengan kandungan 10 peratus Palm Methyl Ester (PME) dan 90 peratus diesel petroleum, manakala biodiesel B20 pula mengandungi 20 peratus PME dan 80 peratus diesel petroleum.

Bagi sektor industri pula, penggunaan biodiesel B7 membabitkan campuran tujuh peratus PME dan 93 peratus diesel petroleum.

Kerajaan kini menyasarkan pelaksanaan mandat B30 bagi sektor pengangkutan darat menjelang 2030, selaras dengan Dasar Agrikomoditi Negara, Dasar Tenaga Negara serta aspirasi peralihan tenaga dan pembangunan rendah karbon negara.

Peningkatan penggunaan biodiesel turut dijangka meningkatkan penggunaan minyak sawit mentah (CPO) domestik, dengan anggaran penggunaan sebanyak 0.801 juta tan metrik setahun bagi pelaksanaan B15 berbanding 0.534 juta tan metrik setahun di bawah B10.

Bagi pelaksanaan B20 pula, penggunaan CPO dianggarkan mencecah 1.068 juta tan metrik setahun, sekali gus membantu menstabilkan permintaan domestik minyak sawit serta menyokong pendapatan pekebun kecil dan pemain industri sawit negara.-BH Online