Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Kedudukan strategik Malaysia di antara Selat Melaka, satu daripada laluan perkapalan tersibuk di dunia, dan Laut China Selatan mengukuhkan peranannya dalam menyelesaikan pertikaian perdagangan serta maritim antarabangsa, kata Ketua Hakim Negara, Tun Wan Ahmad Farid Wan Salleh. 

Beliau berkata Malaysia sudah lama memiliki Mahkamah Maritim, dan dengan penubuhan Bahagian Perdagangan Antarabangsa dan Maritim (ICAD), kes maritim dan perdagangan antarabangsa kini dikendalikan di bawah satu bahagian yang khusus.

Pada 2 Mac lalu, ICAD ditubuhkan di Mahkamah Tinggi di sini yang dijangka mampu meningkatkan keyakinan pelabur terhadap Kuala Lumpur sebagai hab serantau untuk perniagaan dan penyelesaian pertikaian.null

Wan Ahmad Farid berkata kelewatan walaupun hanya beberapa hari dalam kes admiralti yang mendesak boleh membawa kesan komersial ketara terutamanya apabila pertikaian itu melibatkan kapal, kargo dan pihak dari beberapa bidang kuasa sekali gus menekankan kepentingan mengambil tindakan segera dalam menangani kes admiralti.

“Permohonan untuk menahan atau melepaskan kapal, penyediaan jaminan serta perkara mendesak lain memerlukan perhatian segera, dan kelewatan walaupun hanya beberapa hari boleh membawa kesan komersial yang ketara,” katanya dalam ucaptama di Persidangan ICAD 2026 pertama di Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC) di sini hari ini.

Beliau berkata pertikaian maritim sememangnya bersifat antarabangsa dan sering melibatkan kapal yang didaftarkan di sesebuah negara namun dimiliki oleh syarikat di negara lain, dibiayai oleh bank di negara ketiga serta membawa kargo milik pihak-pihak dari beberapa bidang kuasa.

“Sebuah kapal mungkin didaftarkan di satu negara, dimiliki oleh syarikat di negara lain, dibiayai oleh bank di negara ketiga, disewa oleh entiti di negara keempat dan membawa kargo milik pihak-pihak di beberapa lagi negara.

‘Pertikaian admiralti sememangnya bersifat antarabangsa dan melibatkan penahanan kapal, pertikaian sewa, tuntutan kargo, keselamatan maritim serta timbang tara.

“Perdagangan yang melalui kawasan perairan ini menimbulkan pertikaian mengenai kargo, kontrak sewa kapal, kewangan, insurans, tenaga dan infrastruktur,’ katanya.

Wan Ahmad Farid juga berkata faktor geografi sahaja tidak mencukupi kerana peranan ICAD adalah untuk menukar kelebihan itu kepada kelebihan dalam bidang kuasa supaya pertikaian seperti ini dapat diselesaikan berhampiran lokasi perniagaan dijalankan, oleh hakim yang memahami konteks komersial dan maritimnya.

Beliau berkata sebuah forum utama bagi penyelesaian pertikaian dibina atas dasar kepercayaan, yang tidak boleh dibeli atau diwujudkan dalam sekelip mata sebaliknya perlu diperoleh serta dipupuk dari semasa ke semasa. 

“Ia diperoleh apabila pelabur asing yakin bahawa jika mereka membawa pertikaian ke Malaysia, mereka akan mendapat keadilan tanpa mengira kewarganegaraan, berlandaskan pemahaman yang mendalam tentang logik komersial dan bebas sepenuhnya. 

“Jalan raya dan pelabuhan membawa barangan. Kepastian serta kepercayaan membawa keyakinan, dan keyakinan membawa modal. 

“Justeru, marilah kita membina infrastruktur secara terancang, melindunginya dengan teliti dan menawarkannya kepada dunia dengan penuh integriti,” katanya. -BH Online