Sorting by

×
Screenshot
Hantar Berita Ini:

MELAKA: Malaysia berdepan cabaran memperkukuh industri koko tempatan apabila sebahagian besar bekalan untuk memenuhi keperluan industri pemprosesan negara bergantung kepada import.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata keadaan itu perlu ditangani menerusi usaha meningkatkan pengeluaran koko tempatan, sekali gus memperkukuh rantaian bekalan industri berkenaan.

Beliau berkata, walaupun industri pemprosesan koko Malaysia terus berkembang dan menyumbang nilai eksport besar, pengeluaran tempatan perlu dipertingkat bagi mengurangkan kebergantungan terhadap bekalan luar negara.null

“Justeru, kementerian mahu memperkukuh keseluruhan industri koko, bermula daripada pekebun yang menanam sehinggalah kepada usahawan yang menghasilkan produk untuk pasaran tempatan dan antarabangsa,” katanya ketika merasmikan A Malaysian Cocoa Affair 2026 anjuran Lembaga Koko Malaysia (LKM) di sebuah pusat beli-belah di Banda Hilir, di sini, hari ini.

Noraini berkata, nilai eksport biji koko dan produk berasaskan koko Malaysia meningkat daripada RM15.06 bilion pada 2024 kepada RM18.33 bilion tahun lalu, sekali gus membuktikan potensi besar industri itu untuk terus berkembang.

Bagaimanapun, katanya pertumbuhan industri pemprosesan perlu diseimbangkan dengan peningkatan pengeluaran biji koko tempatan supaya pekebun turut menikmati manfaat daripada perkembangan sektor berkenaan.

Sehubungan itu, kementerian memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan pengeluaran koko tempatan dan pendapatan pekebun kecil menerusi penanaman secara berkelompok, pemulihan kebun kurang produktif serta bantuan bahan tanaman daripada klon koko berkualiti tinggi.

“Kita tidak mahu industri berkembang di peringkat pemprosesan sahaja, sedangkan pekebun tempatan tidak mendapat manfaat sewajarnya,” katanya.

Selain meningkatkan pengeluaran, kementerian memperkukuh Sistem Kebolehkesanan Koko Kebangsaan bagi memastikan asal usul biji koko dapat dikenal pasti dan pergerakannya direkodkan dari kebun hingga ke peringkat pemprosesan.

Katanya, langkah itu penting bagi memastikan produk koko Malaysia memenuhi keperluan pasaran antarabangsa, termasuk Peraturan Penyahhutanan Kesatuan Eropah (EUDR).

“Dalam usaha meningkatkan nilai tambah industri, lebih RM40 juta disediakan menerusi Belanjawan 2027 bagi menyokong pembangunan produk koko bernilai tinggi menggunakan teknologi moden, termasuk penghasilan coklat premium menerusi kaedah `bean-to-bar’.

“Malaysia bukan sahaja mahu dikenali sebagai negara pemproses koko, malah berhasrat melahirkan lebih banyak jenama coklat tempatan yang mampu menembusi pasaran antarabangsa,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggalakkan lebih ramai anak muda menceburi industri koko, termasuk dalam bidang pembuatan coklat, reka bentuk produk, pemasaran, penyelidikan dan keusahawanan, bagi memperkukuh masa depan sektor berkenaan. -BH Online