PUTRAJAYA: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan sedang mempertimbang pelaksanaan subsidi diesel menerusi penggunaan kad fleet kepada kira-kira 7,000 penyedia perkhidmatan pertanian di seluruh negara, membabitkan peruntukan sekitar RM200 juta.
Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, kemudahan itu dijangka memberi manfaat kepada penyedia perkhidmatan seperti operator mesin membajak, jentera menuai dan pengangkutan lori yang disewa pesawah bagi menjalankan kerja pertanian.
“Kebanyakan pesawah tidak memiliki mesin besar sendiri dan mereka bergantung kepada penyedia perkhidmatan pertanian.
“Kerajaan setiap masa mengambil maklumat berkaitan keadaan pesawah. Baru-baru ini semasa pembajakan dan sebagainya, kita telah menghulurkan bantuan dan melihat perkembangan dari semasa ke semasa,” katanya.
Kerajaan sebelum ini mengumumkan pembayaran insentif pembajakan kepada pesawah pada kadar RM300 sehektar yang dibayar dalam dua peringkat.
Selain bayaran pendahuluan RM200 sehektar secara sekali bayar kepada pesawah yang layak sebelum atau semasa kerja pembajakan dimulakan, baki RM100 sehektar pula dibayar selepas kerja pembajakan selesai dan disahkan oleh agensi berkaitan mengikut prosedur ditetapkan.
Dalam perkembangan berasingan berkait isu baja, Mohamad berkata pertubuhan antarabangsa termasuk Food and Agriculture Organization (FAO) turut menjangkakan kenaikan harga bahan itu susulan konflik geopolitik dunia yang menjejaskan pengeluaran bahan mentah seperti fosfat.
Setakat ini, katanya bekalan baja di Malaysia masih mencukupi, namun kerajaan akan terus melakukan intervensi mengikut kemampuan bagi mengawal impak kenaikan harga.
Mohamad turut mengakui berlaku kenaikan harga beberapa jenis sayur di Kelantan, namun situasi itu belum menunjukkan peningkatan mendadak secara menyeluruh.
Katanya, kementerian melalui Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) sedang memantau keadaan itu dan laporan lanjut dijangka diperoleh dalam masa terdekat.-BH Online
