KUALA LUMPUR: Semua pihak digesa mencapai satu perjanjian rangka kerja yang inklusif bagi memperkukuh gencatan senjata semasa dan memastikan laluan selamat melalui Selat Hormuz.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata persetujuan itu turut menekankan usaha memastikan kepentingan keselamatan sah untuk semua negara di rantau berkenaan.
Menurutnya, Malaysia sedia menyokong sebarang usaha pelbagai hala yang menyumbang ke arah keamanan dan kestabilan berkekalan di Asia Barat.
“Malaysia mengambil maklum peranan konstruktif dimainkan oleh Bahrain, Mesir, Jordan, Oman, Pakistan, Qatar, Arab Saudi, Turkiye dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam memudah cara proses rundingan antara Amerika Syarikat (AS) serta Iran.
“Kami menggesa semua pihak mencapai satu perjanjian rangka kerja yang inklusif bagi memperkukuh gencatan senjata semasa, memastikan laluan selamat melalui Selat Hormuz, serta menangani kepentingan keselamatan sah semua negara di rantau berkenaan,” katanya melalui Facebook hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan Presiden AS, Donald Trump mendakwa majoriti perjanjian damai dengan Iran hampir selesai dirunding, disahkan kedua-dua negara serta Pakistan yang bertindak sebagai pihak pengantara.
Trump menerusi hantaran di media sosial semalam berkata perjanjian sedang dirangka itu akan membuka semula Selat Hormuz.
Bagaimanapun, Trump tidak mendedahkan butiran terperinci yang terkandung dalam perjanjian berkenaan dan beliau mendakwa aspek dan butiran akhir perjanjian itu sedang dibincangkan dan akan diumumkan dalam masa terdekat.
Kata Anwar, beliau turut menerima petunjuk daripada pemimpin di Asia Barat bahawa rundingan ke arah perjanjian antara AS dan Iran itu sedang berlangsung dengan lancar.
“Saya melihat perkembangan itu dengan penuh harapan dan optimis.
“Kami juga mengalu-alukan penglibatan peribadi Trump dalam usaha mencapai penyelesaian menerusi rundingan.
“Kami berharap semua pihak akan merebut peluang ini dan meneruskan rundingan sehingga mencapai satu penyelesaian yang berjaya,” katanya.-BH Online
