Sorting by

×

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof menyantuni warga kota pada Majlis Ramah Mesra Masjid dan Surau Jumaat Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) di Dataran Merdeka, hari ini.

Majlis itu dianjurkan bersama JAWI, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) bersama gabungan masjid dan surau Jumaat di Wilayah Persekutuan dengan kerjasama pelbagai rakan strategik.

Pada majlis itu Fadillah turut menyampaikan sumbangan kepada anak yatim, pelajar tahfiz dan asnaf sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Hadir sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar; Pengerusi MAIWP, Syed Kamarulzaman Syed Kabeer dan Pengarah JAWI, Datuk Mohd Ajib Ismail.

Program itu diinisiatifkan melalui pendekatan menghimpunkan masjid dan surau Jumaat terpilih sekitar Wilayah Persekutuan bagi menyediakan juadah Hari Raya dan menyantuni tetamu serta mengedarkan makanan secara percuma kepada masyarakat dari pelbagai latar belakang kaum, bangsa dan agama.

Program dengan konsep yang serupa kali keempat diadakan sejak penganjuran kali pertama pada 2019 dan kini sebanyak 130 masjid dan surau Jumaat mengambil bahagian dalam acara pada tahun ini dengan penyertaan beberapa rakan strategik yang lain. 

Penganjur menyasarkan seramai 30,000 pengunjung termasuk pelancong asing yang hadir pada majlis itu.

Pelbagai menu dan juadah disediakan oleh 160 gerai untuk dinikmati oleh tetamu yang hadir.

Selain jamuan makanan secara percuma, beberapa acara selingan turut diadakan di pentas utama seperti persembahan lagu-lagu puisi dan ketuhanan, persembahan kebudayaan Rebana dan Caklempong, serta pertandingan hiasan gerai masjid-masjid. 

Sementara itu, Mohd Na’im berkata, penganjuran program sempan sambutan Aidilfitri itu, JAWI itu membolehkan orang ramai berhubung dengan pengurusan masjid dan surau di Wilayah Persekutuan.

Katanya, melalui penganjuran program itu diharap silaturahim dalam kalangan masyarakat di Wilayah Persekutuan dapat dieratkan lagi dan memasyarakatkan dan mempromosikan masjid di Wilayah Persekutuan sebagai pusat penyatuan ummah serta memperkenalkan keunikan makanan Malaysia kepada pelancong dari dalam dan luar negara.

“Program ini juga dapat membentuk semangat kerjasama dan persaudaraan dalam kalangan Jawatankuasa Masjid di Wilayah Persekutuan serta mencetuskan perasaan cakna dan prihatin terhadap masyarakat yang kurang berkemampuan untuk merasai pelbagai juadah makanan atas semangat muhibah dan perpaduan,” katanya.-BH Online