Sorting by

×

Kerajaan akan meneliti cadangan firma penerokaan dasar laut, Ocean Infinity untuk meneruskan pencarian pesawat Malaysia Airlines MH370 yang hilang ketika dalam penerbangan pada 8 Mac 2014.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata Oceans Infinity bersedia untuk memulakan misi pencarian pada November ini, bagaimanapun perkara itu perlu melalui beberapa proses dan perlu mendapatkan kelulusan daripada Kabinet.

“Untuk ke arah itu (misi pencarian pesawat MH370), kerajaan perlu membuat beberapa langkah antaranya kita perlu bincang lanjut maklumat yang diberikan dan juga perlu ada satu perjanjian antara kerajaan Malaysia dengan Oceans Infinity.

“Perkara ini perlu kerana ia akan menyebabkan implikasi kewangan sekiranya pesawat berkenaan dapat dicari, jadi ia memerlukan kelulusan kabinet untuk kita mulakan misi pencarian berkenaan,” kata pada sidang media Program Karnival Kerjaya ECRL di Dewan Datuk Abdul Hamid, Batang Kali, di sini, hari ini.

null

Loke berkata, pihaknya sudah bertemu dengan Ocean Infinity kelmarin dan perbincangan berkenaan menjurus kepada bagaimana untuk memulakan semula misi pencarian pesawat MH370.

“Selepas perbincangan berkenaan kita memutuskan supaya mereka perlu menghantar kertas cadangan mereka bersama bukti ataupun maklumat untuk penelitian bahagian penerbangan serta pihak terbabit di bawah Kementerian Pengangkutan.

“Selepas itu memang kita perlu rujuk kepada Kabinet untuk mewujudkan satu perjanjian dimuktamadkan di antara kerajaan Malaysia dengan Ocean Infinity.

“Kita menjangkakan proses ini akan mengambil masa tiga bulan dan sekiranya semua itu berjalan lancar maka Ocean Infinity bersedia untuk memulakan misi pencarian berkenaan pada November ini,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata proses pencarian semula pesawat MH370 berkenaan tidak boleh dilaksanakan ketika ini kerana keadaan cuaca di Laut Hindi berkenaan tidak begitu baik.

“Pihak Ocean Infinity memaklumkan tempoh yang sesuai untuk memulakan misi pencarian adalah antara November hingga April tahun depan.

“Jadi, dalam beberapa bulan ini, memang kita perlukan banyak lagi perbincangan lanjut serta ada perjanjian yang perlu dimuktamadkan,” katanya.

Katanya, misi pencarian pesawat berkenaan sebelum ini tidak membabitkan kos kewangan kerana ia berdasarkan prinsip sekiranya tidak dapat mencari pesawat maka tiada bayaran perlu dilakukan.

“Mereka perlu mendapatkan pesawat berkenaan terlebih dulu baru bayaran akan diberikan kepada mereka,” katanya.-BH Online