Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Rindu beraya balik kampung dalam kalangan perajurit sedikit terubat apabila Panglima Tentera Darat (PTD), Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan turut berkongsi kemeriahan Aidilfitri di Kem Sri Banding, dekat sini.

Kehadiran PTD itu adalah untuk menyambut perayaan bersama anggota yang sedang bertugas di kawasan operasi Kota Echo/Foxtrot di kem tersebut.

Majlis Sambutan Hari Raya yang diadakan telah disertai lebih 500 pegawai dan anggota terutama mereka yang bertugas operasi di perbatasan.

Ketika berucap dalam majlis itu, Muhammad Hafizuddeain mengingatkan semua anggota agar sentiasa bersiap sedia dan meningkatkan tahap kesiagaan bagi menghadapi sebarang kemungkinan demi menjaga keamanan daripada anasir-anasir yang mengancam negara.

Beliau juga melahirkan penghargaan kepada para perajurit yang tetap bertugas menjaga keselamatan negara ketika rakyat menyambut Aidilfitri.

“Kepada anggota yang beroperasi, saya ucapkan syabas kepada saudara sekalian kerana kental dan terus cekal untuk melaksanakan tugas dalam kesibukan orang lain menyambut Hari Raya bersama keluarga.

“Ini perkara yang lumrah atau kelaziman bagi kita yang berkhidmat dalam angkatan tentera,” katanya.

PTD juga meluangkan masa untuk menikmati jamuan bersama anggota serta menyempurnakan penyampaian beg Hari Raya Aidilfitri kepada anggota-anggota yang bertugas.

Beliau kemudian melakukan tinjauan di Forward Operation Base (FOB) November dengan lebih dekat dalam memastikan keselamatan sempadan daratan Malaysia-Thailand sentiasa di tahap mampu beroperasi. – KOSMO! ONLINE