Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Semua agensi keselamatan di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) sentiasa meningkatkan tahap keselamatan di pintu masuk negara, baik di lapangan terbang mahu pun pintu sempadan negara jiran.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah, berkata rakyat tidak perlu bimbang mengenai insiden tembakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hingga mengakibatkan kecederaan parah terhadap seorang individu, semalam.

Katanya, KDN meyakini kemampuan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menangani isu itu dan langkah perlu bagi meningkatkan tahap kawalan termasuk di pintu sempadan.

“Isu ini bukan pertama kali berlaku memandangkan banyak kes besar sebegini dapat ditangani secara baik.

“Baik di KLIA mahu pun mana-mana pintu sempadan negara, semuanya dalam keadaan selamat,” katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pengkalan Hulu di sini, hari ini.

Hadir sama Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris; Ketua Polis Daerah Pengkalan Hulu, Deputi Superintendan Zulkepli Ibrahim; dan Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Zulkifli Mahmood.

Dalam perkembangan lain, Shamsul Anuar berkata, cadangan projek pembinaan baharu Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Berapit di Pengkalan Hulu masih di peringkat perbincangan bersama kerajaan negeri Perak dan akan dimuktamadkan selepas bulan depan.

Katanya, proses pembinaan baharu susulan pemindahan, masih panjang termasuk bagi penentuan lokasi tapak kawasan bersesuaian serta anggaran kos.

Beliau berkata, ia memerlukan perbincangan antara KDN bersama kerajaan negeri melalui Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Perak.

“Pembinaan ICQS baharu itu menjadi antara fokus utama kita apabila secara prinsipnya KDN bersetuju dengan cadangan pemindahan ICQS itu ke kawasan lebih hampir dengan pintu sempadan, mengambil kira lokasi sekarang agak jauh kira-kira 700 meter.

“Ada keperluan untuk itu bagi mengelak kebolosan penyeludupan sama ada ke dalam mahupun ke luar negara ini. Ketika ini kita ada beberapa pilihan tapak, cuma belum muktamad termasuk dari segi teknikal, anggaran kos dan sebagainya,” katanya.-BH Online