Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Pembinaan jambatan kekal bagi menggantikan jambatan Bailey di Seksyen 102, Jalan Kuantan-Segamat perlu disegerakan berikutan laluan itu dilaporkan mengalami kesesakan luar biasa pada Aidilfitri kali ini. 

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata isu kesesakan luar biasa di laluan berkenaan akan dibawa ke mesyuarat Kabinet, Rabu ini.

“Awal tahun lalu, saya turun padang melawat laluan berkenaan yang berlaku tanah mendap akibat hujan dan banjir. Oleh sebab tidak boleh dilalui kenderaan, kita putuskan bina jambatan bailey.

“Ia jambatan sementara, bukan kekal. Kerajaan sudah umumkan pembinaan jambatan kekal bernilai RM17 juta untuk menggantikan jambatan bailey sebelum ini,” katanya selepas menyantuni penduduk Benut di sini, hari ini.

Sebelum itu, tular beberapa gambar dan video keadaan Jalan Kuantan-Segamat di Muadzam Shah yang mengalami kesesakan teruk di laluan berhampiran jambatan bailey, menjelang sambutan Aidilfitri dan berterusan sehingga kini.

Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata, Jabatan Kerja Raya (JKR) akan menyegerakan pembinaan jambatan kekal di laluan berkenaan bagi kemudahan orang ramai.

“Pembinaan jambatan kekal perlu disegerakan kerana kita tidak mahu susahkan orang ramai dan penduduk yang terperangkap dalam kesesakan di laluan itu.

“Pengguna jalan raya disaran mencari jalan alternatif terutama pada hujung minggu dan musim perayaan bagi mengelak terperangkap dalam kesesakan di Jalan Kuantan-Segamat itu,” katanya.

Pada 18 Januari lalu, Kementerian Kerja Raya dilapor sudah memohon peruntukan RM17 juta daripada Kementerian Ekonomi dan Kementerian Kewangan bagi pembinaan jambatan kekal menggantikan jambatan bailey itu.

Pembinaan jambatan kekal dijangka mengambil masa dua sehingga tiga tahun untuk disiapkan.-BH Online