Sorting by

×

Amalan kunjung mengunjung sempena Aidilfitri mengukuhkan lagi keharmonian dan perpaduan kaum di negara ini termasuk di Sarawak.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, berharap amalan tradisi itu dapat terus dikekalkan supaya perpaduan antara kaum di negara ini dapat dipertingkatkan.

Beliau turut menyifatkan sambutan Aidilfitri di Sarawak tahun ini agak luar biasa.


“Bermula 1 Syawal pada Rabu lalu hingga hari raya keempat hari ini, rakyat berbilang kaum dan agama masih terus meraikan perayaan dengan saling kunjung mengunjungi.

“Saya memerhatikan bahawa sambutan Aidilfitri di Sarawak kali ini agak luar biasa. Bila saya berkunjung ke rumah terbuka Premier (Tan Sri Abang Johari Abang Openg) begitu ramai rakyat berbilang latar belakang agama, kepercayaan, keturunan turut bersama.

“Begitu juga ketika saya berkunjung ke rumah terbuka Sharifah Hasidah (Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali) dan Datuk Ibrahim Baki (ADUN Satok) semalam pun begitu juga ramai orang berkunjung,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Parlimen Petra Jaya di Hikmah Exchange, di sini, hari ini.

Fadillah berkata, pada rumah terbuka anjurannya serta Pusat Khidmat Parlimen Petra Jaya hari ini pula, situasi serupa masih kelihatan.

“Rumah terbuka Aidilfitri saya ini sepatutnya bermula jam 10 pagi, tetapi jam 9.15 pagi orang ramai sudah berduyun-duyun datang.

“Ini menunjukkan semangat untuk kita meraikan kebersamaan di antara kita ini sangat sangat baik di Sarawak,” katanya. 

Beliau berkata, amalan itu mengukuhkan lagi perpaduan dan beliau berharap ianya akan kekal dalam masyarakat majmuk.

“Semangat seperti ini adalah asas kekuatan kita di Sarawak iaitu perpaduan, hidup dalam keadaan harmoni tidak kira latar belakang kita adalah bersaudara,” katanya.-BH Online